JETI pelancongan dan benteng pemecah ombak yang dibina kerajaan di Merang, Terengganu pada tahun 1996, konon untuk menjadi antara spot pelancongan kini bertukar menjadi projek tukun daratan. Projek yang telah bertukar menjadi projek gajah putih @ gajah duduk yang dibina dengan kos RM200 juta itu terus terbiar dan menjadi pusat anak muda melampias nafsu!
Ditutupi hutan, sebahagian besar konkrit tukun daratan itu, amat menarik perhatian pasangan muda untuk bercengkerama selepas ia tidak lagi boleh dimanfaatkan penduduk sebagai kawasan menaik dan menurunkan penumpang ke Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah.
Muara Sungai Merang yang telah cetek dan mustahil boleh menjadi tempat bot berlabuh, menyebabkan jeti pelancongan itu bertukar fungsi. Persoalannya, siapalah yang untung, kecuali pasangan muda yang berasmara di kawasan itu sehingga lewat pagi.
Penduduk sebelum pembinaan projek berkenaan pernah menyuarakan pandangan supaya kedudukan jeti itu diubah tetapi atas alasan apa kejadahnya, pandangan mereka ditolak mentah-mentah.
Kini, bangunan kedai terbiar, jalan menjadi denai dan jeti yang dibina telah semakin berlumut dan dimakan hari. Namun wang rakyat terus terkubur dalam konkrit batu yang terbiar tidak berfungsi lagi.