kesemua penyerang markas polis yang membunuh tiga anggota pagi tadi, dilihat memakai topeng seperti ini. |
TIGA anggota polis terbunuh apabila sekumpulan 12 penyerang bersenjatakan pelbagai jenis senjata api, bertindak menyerang Markas Polis Hamparan Perak, Sumatera Utara kira-kira jam 1 pagi ini waktu Malaysia.
Insiden ini dipercayai dilakukan oleh kumpulan penjenayah paling dikehendaki kerana dipercayai membalas dendam di atas kematian tiga ahli kumpulan penjenayah yang merompak lebih RM200,000 di bank CIMB Niaga, Medan, malam kelmarin.
Dalam kejadian awal pagi tadi, tiga anggota polis dikenali sebagai Bripda Riswandi, Aipda Tejo Sutejo dan Aiptu Baik Sinulingga mati di markas berkenaan. Riswandi terkena lima das tembakan, Sinulingga (3 das) dan Sutejo (1 das).
Kesemua jenazah anggota polis yang terkorban itu telah dihantar ke Hospital Bhayangkara, Medan untuk pemeriksaan.
Polis Indonesia bagaimanapun masih menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut di sebalik serangan itu, walaupun tidak menolak ia ada kaitan dengan kejayaan polis membunuh 3 daripada 16 anggota kumpulan penjenayah yang merompak CIMB Niaga, baru-baru ini.