JULIA Daud, 29, isteri pelakon Badrul Muhayat, 42, hari ini bebas daripada menanggung derita dalam sebuah perkahwinan yang dianggapnya terlalu membuatkan dia menderita bertahun-tahun.
Sebentar tadi, Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, mengesahkan lafaz cerai Badrul Muhayat ke atas Julia dan rasmilah pembubaran sebuah perkahwinan yang selama ini didakwa Julia sebagai hidup bak dalam neraka.
Julia entah berapa kali telah membuat laporan polis tentang perangai Badrul yang didakwanya suka memukul dan mendera. Namun setiap kali terpujuk, Julia memberi peluang kepada suaminya itu berubah sikap. Namun setiap kali diberi peluang, ada sahaja insiden dia dipukul dilaporkan akhbar.
Beberapa hari lalu, Julia membuat laporan polis mengenai perbuatan Badrul yang menendang dan memukulnya. Dan diharapkan itulah kali terakhir Julia didera. Pengesahan lafaz cerai oleh mahkamah tadi, harus membuka satu lembaran baru dalam hidupnya.
Walaupun Julia semakin hilang kepercayaan terhadap kaum lelaki ekoran sering diseksa Badrul selama perkahwinan mereka, janganlah ditutup hati sepenuhnya untuk mencari lelaki pada masa akan datang. Jodoh telah ditentukan Tuhan, dan bersedialah melalui jalan ini sendiri-sendiri. Masih banyak lelaki yang baik dalam dunia ini.
Selamat bebas daripada seksaan Julia.