nuffnang ads

Wednesday, September 22, 2010

SYABAS PRESIDEN NUJ BARU, HATA WAHARI

SEBAGAI sebuah kesatuan yang sememangnya dituntut memiliki dan mengamalkan etika kewartawanan, tanpa berpihak dan berkepentingan, NUJ dibawah teraju saudara sekarang, mesti mengekalkan azam dan iltizam untuk menjadi badan berfungsi memantau dan menasihati agar proses penyaluran maklumat secara adil dapat dilaksanakan kepada rakyat.

Pendirian saudara bahawa akhbar seharusnya berkecuali dan merujuk arah perjalanan Utusan Melayu sebelum 1961 yang tidak dikongkong oleh mana-mana parti politik adalah betul. Rakyat sebagai pemegang saham terbesar dalam pengedaran akhbar di mana-mana negara harus diberi keutamaan dan hak, terutama untuk menerima maklumat yang adil, telus dan tidak bersifat berat sebelah.

Keazaman saudara untuk menolak campur tangan atau hulur tangan daripada mana-mana pihak termasuk parti pemerintah, pembangkang dan NGO mesti diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan membabitkan kesemua ahli yang bernaung di bawah NUJ.

Harus diingati juga, akhbar adalah neraca yang menimbang dan membuat pengukuran menggunakan mata akal pembaca dan bukannya pada kail politik atau pancing badan-badan yang berkepentingan sempit yang hanya mahu meraih merit politik, bangsa atau agama semata-mata.

Kepada saudara Hata Wahari, diucapkan syabas. Teruskan memimpin NUJ sebagai badan yang seluruhnya bernyawakan profesionalisme dan bukannya kuda untuk ditunggang oleh mana-mana pihak. Wartawan yang profesional tidak akan pernah mengizinkan mulut mereka disumbat dengan kata-kata orang lain. Junjunglah konsep pengucapan bebas dan bertanggungjawab sepenuhnya. Syabas!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10