INI memang cerita lawak. Seorang lelaki berusia 33 tahun membawa muka selamba atau muka tikus disiram air, terus sahaja ke kaunter jabatan imigresen Kalimantan.
Berdepan seorang petugas dia menghulurkan beberapa dokumen termasuk kad pengenalan dan sijil kelahiran membuktikan dia warga Indonesia. Buat Pasport! Dia memberitahu. Kemudian mulutnya terus ditutup. Petugas imigresen bertanya. Tapi dia buat endah tak endah. Hanya angguk dan geleng. Begitu seterusnya. Petugas di kaunter letih bertanya. Tak sebutir pun dijawab lelaki itu.
Petugas terus memeriksa dokumennya untuk memprsoses pasport seperti diminta lelaki itu. Mungkin dalam hati petugas kaunter itu, hanya Tuhan yang tahu betapa geramnya dia. Awalnya semua berjalan lancar. Semakan di komputer mendapati semua data dalam kad pengenalan dan sijil kelahiran lelaki itu tulen.
Entah kerana apa, digerakkan hati petugas itu bertanya semula. Tapi seperti biasa, lelaki itu tak mahu membuka mulutnya. Bila ditanyakan nama dan tempat kelahiran. Peliknya cepat-cepat lelaki itu membuka mulut. Dia memberitahu, namanya Yoseph Icang, lahir di Palungkaraya. Lahir pada 2 Disember 1977. Lepas itu, dia diam dan soalan lain tidak dijawabnnya.
Akibatnya, dia dipanggil petugas berkenaan masuk untuk menjalani pemeriksaan. Sah! Nak Tahu? Lelaki itu rupanya bukan rakyat Indonesia. Dia warganegara Republik China yang baru masuk ke Indonesia pada 29 Ogos lalu menerusi Bandara Soekarno-Hatta. Dan namanya pula bukan Yoseph Icang, sebaliknya Chu Xiong!
Nak tahu kenapa dia tak mahu membuka mulut menjawab pertanyaan petugas sebelum itu? Sebabnya dia hanya tahu menjawab soalan nama, tempat lahir dan tarikh lahir. Itu pun macam burung kakaktua! Selebihnya, sepatah haram bahasa Indonesia diketahuinya. Yang melucukan, dia sanggup mengaku keturunan suku Dayak!
Insiden melucukan petugas imigresen itu turut menimbulkan tanda tanya. Ini kerana semua data dan cap jari dalam kad pengenalan serta sijil kelahiran Indonesia miliknya adalah tulen. Dikeluarkan pihak berkuasa Indonesia.
Akhirnya walaupun lagak lelaki itu menggelikan hati, dia tetap disumbat ke dalam tahanan untuk didakwa berkaitan kesalahan memiliki dokumen secara tidak sah dan kesalahan yang berkait perjalanan masuk meragukan.
Yang peliknya, kenapalah nak sangat berlagak sebagai orang Dayak, sedangkan cakap Indonesia pun tak berbutir!