TUDUHAN konon Malaysia pusat pengedaran syabu utama dunia yang telah merosakkan rakyat Indonesia adalah satu dakwaan yang dangkal, cetek dan mempunyai niat jahat. Tuduhan itu pula tentunya tidak memberi apa-apa makna kalau diukur dengan bilangan pengedar dadah dari Acheh yang bermaharajalela mengedar dadah ke negara ini.
Konon, tahun ini Indonesia menahan 9 pengedar dadah Malaysia kebanyakannya di Batam, kerana mengedar syabu. Konon juga, hancur musnah rakyat Indonesia kerana syabu. Konon lagi, tak ada yang baik Malaysia ini kecuali untuk membunuh rakyat saudara serumpun mereka di Indonesia dengan mengedar syabu.
Apalah banyak angka 9 orang yang ditahan itu, kalau dibandingkan rakyat Indonesia keturunan Acheh yang SEDANG menunggu hukuman mati mengikut SEKSYEN 39B AKTA DADAH BERBAHAYA, yang kini mencecah lebih 142 orang. Itu baru dikira yang sedang menunggu hukuman mati. Beratus lagi yang terlepas kerana kurang bukti, kesilapan teknikal dan dalam proses perbicaraan serta yang direndahkan hukuman mengikut Seksyen 39A dan pelbagai hukuman lain lagi.
Kalau Indonesia mahu mengukur, biarlah diukur mengikut neraca yang betul. Angka tak pernah berbohong, sebenarnya. Itu hanya bercerita yang telah dapat diberkas. Bagi setiap satu yang diberkas, satu lagi masih bebas. Jadi kalau dicampurkan sudah berapa banyak rakyat Indonesia yang boleh dianggap sebagai pembunuh rakyat Malaysia.
Dunia pun tak mampu berbohong tentang fenomena ini. Syukurlah juga banyak cawangan anti dadah di negara ini bekerja berhempas pulas. Banyaklah juga pegawai-pegawai besarnya yang menjalankan tugas dengan berdedikasi dan amat komited seperti Ketua Jabatan Anti Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir. Kalau bukan kerana kerja keras mereka ini, lagi ramailah rakyat Malaysia mati kerana bersarapankan dadah setiap hari. Dadah/kanabis yang dibawa dari Indonesia. Dan dengar khabar penanaman ganja di Acheh juga sudah menjadi cerita yang lumrah di kalangan rakyat Indonesia yang bekerja di sini.
Demikian Indonesia cuba memburukkan kerajaan Malaysia sedangkan Malaysia terpaksa menanggung biaya yang amat besar untuk menjaga banduan dari negara itu yang kini seramai 6,845 orang. Sebahagian daripada mereka adalah banduan yang terbabit dalam kes dadah juga.
Tak habis-habis cerita memburukkan negara ini terpampang di dada akhbar mereka, sedang realitinya, kalau akhbar mereka berpindah ke sini, tidak cukup halaman untuk mereka tuliskan 1,001 cerita tentang pengedar dadah dari Indonesia!