DUA beradik peguam yang menjadi suspek utama pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga yang lain, rupanya telah digantung lesen amalan guaman mereka dan dihentikan keahlian daripada majlis peguam bermula 5 November 2009 lalu.
Bagaimanapun mereka masih menjalankan tugas sebagai peguam sementera menunggu keputusan permohonan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan dipetik mengesahkan perkara itu. Menurutnya, majlis peguam telah membuat siasatan berhubung salah laku kedua-duanya sebelum membuat keputusan menggantung lesen dan menamatkan keahlian mereka berkuatkuasa tarikh berkenaan.
Barangkali peguam Ahmad Kamil Abdul Karim yang juga ahli majlis peguam mengetahui perkara itu dan tidak mustahil salah laku dan keputusan majlis peguam menggantung lesen kedua-duanya turut dibincangkan dengan Sosilawati. Dan tidak mustahil Sosilawati sengaja mengajak Ahmad Kamil bersamanya selepas mengetahui latar belakang kedua-duanya yang buruk itu.
Hari ini juga, polis telah membawa peguam berkenaan datang semula ke pejabatnya di Kuala Langat dan polis dilihat membawa beberapa fail atau dokumen dari pejabat suspek.