nuffnang ads

Friday, September 3, 2010

BOLEH ATAU TAK BOLEH BUKAN ISLAM MASUK MASJID. BIAR YANG ADA ILMU BERBICARA

KALAU kita jenis kurang tahu, jangan bercakap banyak. Bertanya banyak tak apa, tetapi bercakap banyak boleh menyebabkan kita semakin silap. Takut-takut manfaat tak tiba, yang datang hanyalah dosa. Demikian dalam isu bukan Islam masuk ke masjid atau surau.

Sejak isu itu panas, banyak sangat orang Islam mahu ambil kesempatan. Dalam istilah orang suratkhabar, banyak sangat yang mahu menjadi penyendal, mahu mengisi lompong kecil pada kertas yang ditinggalkan oleh berita-berita utama. Akibatnya? Apa yang dicakap diasah orang menjadi senjata. Senjata yang makan tuan!

Isu berkait agama lebih layak dicakapkan oleh orang yang ada ilmunya. Kita yang jenis separuh labu dan separuh labi, sebaiknya duduklah tepi-tepi. Biar kita duduk cara bodoh. Atau tunjuk muka macam biawak terkena lumpur sambil dengar orang yang ada ilmu membutirkan bicara penuh perinci. Soal agama bukan soal remeh-temeh atau soal main-main.

Soal bukan Islam boleh masuk atau tidak dalam rumah ibadat kita, bukan soal politik. Bukan soal mencari keuntungan peribadi. Soal itu telah ada digariskan dalam Islam. Kita yang kurang reti dan kurang faham, elok tinggalkan sahaja perkara itu diselesaikan oleh orang yang ada ilmu. Jangan ikut hati, kita mati. Jangan ikut suka, orang ketawa!

Kalau ikut hukum penyendal, mana-mana boleh kita tampal. Tapi ini hukum Islam. Ada kaedahnya. Tak pernah lagi kita dengar ada undang-undang dibuat orang mahu haramkan bukan Islam masuk ke masjid. Kecuali telah jelas sangka dan niatnya mahu melakukan perkara yang buruk. Di zaman Rasulullah pun, dikatakan cendiakiawan Islam ada orang Kristian menumpang sembahyang di dalam masjid. Demikianlah susahnya. Demikianlah rumitnya. Islam itu menyeluruh, sederhana dan indah. Konsep menyeluruh, sederhana dan indah itulah yang wajar kita praktikkan. Bukan dengan cara keras dan kasar di segi kaedah dan pelaksanaannya.

Hak bukan Islam pada masjid dan surau kita ialah untuk merasai aura dan jiwa Islam yang ada di dalamnya. Wajarkah kita menghalangnya kalau Allah telah menentukan ada hikmah di sebalik semua?

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10