SEORANG pembantu rumah warganegara Indonesia dipercayai bertindak kejam apabila disyaki mencekik anak majikannya sehingga mati dalam satu kejadian di Pusat Bandar Puchong, kira-kira jam 4 petang Jumaat lalu.
Selepas bertindak mencekik Tan Jin Yong, 15 bulan, pembantu rumah terbabit, Rita Rohayati, 25, dipercayai menghubungi majikannya, Tan Meng Kiang, 40 memaklumkan bayi berkenaan sakit tetapi bertindak melarikan diri selepas itu.
Kini polis sedang memburu wanita berkenaan untuk membantu siasatan, kata Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias.
Menurut Abdul Razak, bapa kanak-kanak terbabit pada mulanya menyangka anaknya itu mengidap sakit biasa dan menghubungi bapa saudaranya meminta bantuan menghantar Jin Yong ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Pemeriksaan awal doktor mulanya mempercayai bayi itu mati mengejut, tetapi selepas beberapa pemeriksaan lanjut dibuat, pegawai perubatan menemui kesan mencurigakan di leher dan beberapa bahagian badan bayi malang itu, lalu mengesyaki ia ada kaitan kes dera.