nuffnang ads

Tuesday, September 21, 2010

BADI BERITA: LEPAS SATU, SATU LAGI BERITA SEIRAS MENYUSUL

DALAM dunia kewartawanan selain anekdot terkenal, anjing gigit orang dan orang gigit anjing ada satu lagi 'benda' yang selalu sangat jadi bacaan kepada pengamal media, terutama di dalam bidang pemberitaan jenayah.

Benda itu kita panggil 'badi berita'. Istilah ini tidak pernah menjadi istilah yang didokumentasikan dalam mana-mana jurnal kewartawanan tetapi selalu sahaja digelar 'petua' bagi wartawan jenayah menghidu berita seterusnya.

Lebih jelas, badi berita ini merujuk kepada kesinambungan sesuatu berita yang menjadi topik hangat. Maknanya selepas satu kejadian jenayah A berlaku, akan ada jenayah seiras A akan berlaku dalam tempoh terdekat.

Sama ada ini adalah kebetulan atau memang wartawan sengaja mencarinya, terpulang kepada kita sendiri memikirkannya.

Sebagai contoh sahaja yang boleh merujuk kepada badi berita ini ialah, kehilangan Datuk Sosilawati, Kamarudin, Ahmad Kamil dan Norhisham. Berita kehilangan mereka menjadi topik utama sehinggalah kesemuanya dikatakan polis telah dibunuh dengan kejam.

Kesinambungan berita ini yang dikatakan badi berita ialah laporan tentang kehilangan tiga remaja 14 tahun yang hilang di Pulau Pinang sejak 11 September lalu, ketika pergi berhari raya di rumah kawan mereka. Syukur mereka ditemui hari ini. Berita kehilangan tiga remaja inilah yang dimaksudkan sebagai badi berita kepada berita kehilangan Sosilawati dan tiga yang lain sebelumnya.

Satu lagi contoh berita ialah kes Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Ahmad Fadzillah Mohamed yang tertembak rakannya seperburuannya, Abdul Ghani Midon, semalam.

Dan kesinambungan berita itu diperolehi hari ini, iaitu melibatkan kejadian senapang seorang pengawal keselamatan di Cheras Lesiure Mall meletup, mengakibatkan lima cedera. Inilah antara badi berita yang dimaksudkan.

Memang badi berita seolah-olah wujud tanpa dipinta dalam kewartawanan jenayah. Sekarang heboh cerita seorang pembantu rumah didera dan dirogol oleh majikannya. Secara peribadi saya mula terhidu seolah-olah akan ada berita yang seiras dalam tempoh terdekat. seolah-olah akan ada lagi berita seiras berita itu. Bagaimanapun, semuanya kuasa Allah.

Seperkara lagi, mungkin tidak ramai wartawan jenayah menyedari kebetulan yang selalu berlaku melibatkan mangsa lemas yang ditemui. Kebanyakan mangsa lemas yang ditemui dalam keadaan terlentang dikatakan orang Islam, manakala terlangkup pula adalah bukan Islam. Bagaimanapun, ini hanyalah berdasarkan pengalaman dan tidak boleh diakui kebenarannya kerana Allah sahaja yang mengetahui segala-gala!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10