Kalau ikut hukum "Dah Lama Kena Tukar" (DLKT), teori "Untung Sabut Timbul (UST)" dipercayai akan digunapakai sebagai pelampung oleh kebanyakan Menteri Besar, Menteri dan wakil rakyat untuk membantu mereka sampai ke pulau menjelang pilihanraya depan. Maknanya, faktor takdir dan nasib kini semakin memainkan peranan dalam menentukan masa depan politik mereka.
Sesetengah mereka sudah mula berkira-kira dan berharap sangat teori UST itu akan "menjadi" bagi memastikan mereka terus terselamat daripada disingkirkan sebagai pejuang-pejuang UMNO dalam pertarungan menentang PR yang dijangka menggunakan teori dan taktikal tersendiri.
Antara hendak atau tidak, UMNO terpaksa tunduk pada hukum DLKT bahawa yang lama mesti ditukar baru. Dan hakikatnya yang lama terpaksa menyerah nasib. Kalau jadi batu tenggelam, kalau jadi sabut, timbul.
Faktor nombor empat kenapa rakyat menolak UMNO pada pilihanraya lalu ialah kerana mereka "tersalah tangkap" calon pilihan raya sehingga ada di antara calon langsung tidak disukai pengundi. Atas pertimbangan faktor ini juga, kebarangkalian UMNO terpaksa guna DLKT tersangat besar. UMNO seperti diakui Datuk Seri Najib, memang memberi perhatian terhadap faktor kesilapan memilih calon itu dan bagi memastikan ia tidak berulang, barang tentu kali ini calon yang dipilih ditimbang berkali-kali.
Dan kalau benar seperti maksud debas-debus sewaktu singalaut menyelam di Selat Melaka semalam, ada harapan beberapa menteri besar dan wakil rakyat berdepan turun kuasa atau hilang pangkat. Dan kalau itu UMNO fikir adalah untuk kebaikan, mereka yang terlibat nanti janganlah pula menarik muka dan berkecil hati. Antara bertegas atau menjaga hati kawan, rupanya UMNO lebih memikirkan soal menarik hati pengundi @ meraih kemenangan.
Untuk rekod antara menteri besar yang lama ialah Datuk Abdul Ghani Othman. Ada kemungkinan mana-mana wakil rakyat sama ada disukai oleh pemimpin kanan atau mempunyai tangan ajaib atau berperanan sebagai tok dalang dalam wayang padang selama ini, terpaksa menjalani ujian kecergasan. Jika terbukti tidak lagi mempunyai kuasa kuda untuk berlari mereka juga akan digantikan. Namun tentu pasti, banyak wakil baru kali ini diperkenalkan UMNO melibatkan golongan muda berpendidikan agama.
Hebat taktikal yang bakal digunakan UMNO pada pilihanraya kali ini. Banyak kejutan mungkin berlaku dan ramai dijangka membawa hati. Namun demi rakyat, ada yang mesti berkorban dan setia untuk dikorbankan. TAPI BENARKAH? MAMPUKAH MEREKA MENEMBUSI TEMBOK KEBAL PAKATAN RAKYAT?
DEBUS-DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Maaf tok Ghani. Hanya Allah sahaja yang mampu menyelamatkan kita. Macam pernah kudengar ungkapan itu, tapi di mana ya?