Calon ujian memandu di seluruh negara seharusnya sedar bahawa mereka mempunyai hak untuk mendapatkan kereta yang sesuai dan menepati standard sewaktu menjalani ujian berkenaan di mana-mana institut memandu di seluruh negara.
Jika mendapati kenderaan yang digunakan kurang berfungsi dan mempunyai beberapa kelemahan seperti kesukaran memasukkan gear, brek yang terlalu keras atau kerusi yang tidak boleh diubahalih, mereka berhak menolak menggunakan kenderaan berkenaan.
Begitu juga ketika menerima keputusan ujian yang dilakukan oleh penguji, calon berhak bertanya dan mempertikaikan keputusan yang diberikan jika mendapati keputusan itu sangat-sangat diragui. Dalam hal ini, calon diminta jangan menandatangani slip keputusan ujian berkenaan, sebaliknya meminta kebenaran berjumpa pegawai penguji yang menyelia ujian berkenaan.
Calon turut boleh meminta pandangan dan kerjasama jurulatih memandunya bagi mendapatkan penjelasan sekiranya keputusan ujian itu dipertikaikan.
Jika masalah itu tidak boleh diselesaikan, calon mesti membawa masalah berkenaan ke pihak atasan. Contohnya ke pengetahuan Pengarah JPJ negeri atau pun kepada Ketua Pengaraha JPJ di Putrajaya.
Hal pertikaian membabitkan keputusan ujian memandu bukan perkara terpinggir. Ada kalanya, bukan calon sahaja yang keliru tetapi turut menjadi rungutan di kalangan jurulatih di negara ini. Bayangkan, jurulatih memandu mengajar calon yang langsung tidak pernah membawa kenderaan sehingga mampu membawa kenderaan di jalan raya. Senang-senangnya saja dalam tempoh 10-15 minit, calon itu digagalkan oleh penguji JPJ.
JPJ harus faham bahawa tujuan pengujian adalah untuk menguji mereka yang baru mendapat kemahiran memandu. Mereka tidak menguji orang yang telah berpengalaman. Dalam hal ini, sering sahaja perselisihan pendapat berlaku. Akibatnya jadilah urusan lesen memandu seperti jual kacang di tepi longkang...
DEBUS-DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Masalah dihadapi JPJ ialah kurangnya penguji. Apa salahnya dapatkan khidmat jurulatih memandu yang mempunyai SPIM sebagai penguji kerana kadangkala kemahiran mereka melebihi tahap penguji JPJ.