Datuk Seri Najib Tun Razak nampak marah sedikit ketika menyampaikan ingatannya kepada pengamal media. Antara katanya, rosak bangunan boleh diperbaiki, rosak jalan boleh dibetulkan tapi rosak pemikiran rakyat padah jadinya. Diambilnya contoh laporan Felda Bangkrap. Itu contoh yang diambil dari laporan Suara Keadilan.
Pandangan saya begini. Saya amat berharap saya sedang hidup pada tahun 2010, di mana pemikiran rakyat tidak seperti dulu-dulu. Apabila rakyat membaca akhbar saya harap, rakyat tidak jadi robot. Robot yang telah disetkan untuk menerima benda tertentu tetapi akan menolak benda tertentu yang lain. Rakyat hari ini jangan dikhuatirkan tahap pemikiran mereka. Tidak semua akan mengangguk atau menurut sahaja.
Saya tidak menyokong fitnah dalam erti kata berbohong. Cuma saya masih kabur apa yang dimaksudkan fitnah dalam media. Kalau kita bimbang sangat kepada apa sahaja yang dikatakan fitnah, walaupun ia masih kabur di segi erti dan maksud dibawanya, kita akan takut kepada sesuatu yang belum jelas.
Saya membaca pelbagai akhbar setiap hari. Kadang-kala saya lihat ada tajuk akhbar media arus perdana pun kadang kala seperti berbohong atau fitnah tetapi saya rasional kerana saya meletakkan mata fikir saya pada seribu sisi tafsiran. Ini bagi mengelakkan saya tidak ikhlas dan jujur.
Saya faham, Najib bimbang rakyat diracun pemikiran dengan laporan yang tidak betul. Tetapi pada masa yang sama saya rasa, beliau tidak harus bimbang kerana setiap yang betul boleh dibuktikan. Setiap yang salah boleh juga ditunjukkan. Kita patuhlah pada hukum kebenaran bahawa kebenaran itu pahit dan satu lagi, kebenaran itu bak intan, terbenam atau tersorok ke mana sekalipun cahayanya akan menyerlah.
Kepada pengamal media tanpa mengira media parti politik atau arus perdana, saya mendoakan bahawa anda tidak BERBOHONG selama ini.
DEBUS-DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Dulu ada wartawan sambilan menulis cerita seekor kucing menerkam anu seorang lelaki ketika sedang tidur berkain pelikat. Puncanya, kucing itu menyangka ada haiwan sedang bergerak-gerak pada kain pelikat mangsa. Ceritanya sedap, tapi selepas bertahun-tahun ternyata itu cerita bohong.