nuffnang ads

Tuesday, July 13, 2010

SAMBUNGAN ASAS MENULIS BERITA (1)

(Contoh-contoh di dalam penulisan ini bersifat akademik dan tidak wajar dipolitikkan atau ditafsirkan dengan cara menyalahi niat sebenar penulis untuk membimbing mereka yang berminat dalam penulisan)

Ketika menyampaikan cerita, berita atau maklumat kita sebagai penyampai sangat berharapkan bahawa setiap yang kita ceritakan boleh difahami dengan cepat dan tepat oleh penerima maklumat. Kefahaman yang cepat oleh sebab cara kita menyampaikan cerita itu akan menjadikan perbualan seterusnya menjadi lancar dan tidak terganggu dengan pelbagai pertanyaan. Tentu kita akan berasa kurang selesa apabila kembali ditanya berkali-kali tentang maklumat atau cerita yang kita sampaikan. Hal ini biasanya berlaku kerana kita menyampaikan cerita atau maklumat itu dengan cara yang kurang difahami. Oleh itu penting terutama untuk menjadi wartawan, maklumat yang ingin kita sampaikan mestilah mudah difahami pembaca. Latihan berkali-kali menulis berita dengan memasukkan 5W dan 1H ini dikatakan boleh membantu kita mahir menulis sekurang-kurangnya perenggan pertama, iaitu perenggan terpenting dalam berita.

Berikut diberikan satu contoh lagi: Beberapa orang penduduk di Kota Kemuning bersungut apabila tiba di satu kawasan pangsapuri. Mereka membebel, ada juga yang marah-marah kerana janji kerajaan untuk menyediakan Klinik 1Malaysia di situ tidak ditunaikan. Selepas berbulan-bulan kerajaan mengumumkan penubuhannya, janji hanya tinggal janji dan kebanyakan penduduk yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah pulang hampa. Mereka juga berang dan akhirnya sepakat membuat laporan polis mendakwa tertipu dengan janji kerajaan.

Anda berada di tempat kejadian. Anda mendengar dan memerhatikan penduduk bersungut dan faham kenapa mereka marah-marah. Sebagai wartawan, anda dikehendaki menulis berita mengenainya. Selain perlu menemuramah penduduk, mengambil gambar dan melengkapi maklumat berkaitan insiden itu, anda pun memulakan perenggan pertama menulis berita mengenainya.

CONTOH

SHAH ALAM: Beberapa penduduk di sekitar Kota Kemuning dekat sini yang berhasrat mendapatkan rawatan percuma, terpaksa pulang hampa apabila mendapati klinik 1Malaysia yang dijanjikan beroperasi sejak awal tahun lalu tidak wujud.

atau
CONTOH

SHAH ALAM: Berikutan gagal membendung kemarahan, beberapa penduduk di Kota Kemuning dekat sini, sepakat membuat laporan polis mendakwa tertipu dengan kegagalan kerajaan menunaikan janji membina sebuah klinik 1Malaysia di aras bawah sebuah blok pangsapuri di situ.

atau
CONTOH
SHAH ALAM: Kegagalan kerajaan menunaikan janji untuk membina sebuah klinik 1Malaysia di Kota Kemuning dekat sini sejak setahun lalu, menyebabkan beberapa penduduk berang dan sepakat membuat laporan polis.


bersambung...

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10