APA CERITA saudara Mr Khir? Cakap biar terang, cerita biar jelas. Hairan pula, jauh benar angka yang saudara bagi berbanding angka yang diberikan oleh Menteri Besar. Opps...saya tidak berniat mengatakan saudara berbohong atau menteri besar berbohong tetapi angka 10 juta tan berbanding 400,000 tan metrik bezanya seperti langit dan bumi.
Dakwaan bahawa berlaku kecurian pasir melibatkan 400 hektar tanah di kampung Bukit Changgang sehingga dikatakan boleh mengancam tasik dan habitat berdekatan sesuatu yang saya seronok dengar. Maklumlah, ini melibatkan hasil negeri dan kalau betul sudah tentu ia amat menghibakan saya dan golongan orang miskin seperti saya.
Cuma saya terfikir pula, bagaimana agaknya cara untuk mengeluarkan 10 juta tan pasir dalam tempoh dua minggu yang dikatakan melibatkan jualan bernilai RM220 juta.
Kalau ikut penjelasan menteri besar ia sesuatu yang tidak munasabah dan sebetulnya hanya sebanyak 400,000 tan metrik pasir sahaja yang baru dijual dalam tempoh dua minggu melibatkan hasil RM7 juta.
Saya cuba membandingkan antara 10 juta tan dan 400,000 tan metrik. Saya juga cuba membandingkan antara RM220 juta dan RM7 juta. Benar, seperti saya katakan tadi. Ia umpama membandingkan rendah bumi dengan tinggi langit.
Seperkara lagi, saya juga teruja apabila melihat saudara bersungguh-sungguh membangkitkan soal pasir ini. Terfikir juga saya kalaulah semua pemimpin politik terutama sejak puluhan tahun lalu membangkitkannya seperti saudara, tentulah urusniaga pasir akan berlaku secara berhemah. Dulu, saya pernah melihat bagaimana hati rakyat rusuh akibat jalan rosak, rumah retak angkara perbuatan lori pasir yang berdondang sayang di jalan-jalan raya. Ketika itu saya tidak melihat pun sebegini bernafsunya pemimpin politik ketika itu berdebat dan berbahas mengenai pengambilan dan penjualan pasir.
Entahlah, ketika itu barangkali mata saya buta, telinga saya tuli tentang hal itu. Cuma kini alhamdulillah ada juga pemimpin yang sungguh-sungguh memperjuangkan soal pasir walaupun mengikut angka ia seperti sebuah cerita yang tidak munasabah.
Tentang kesungguhan, kalau benar ia mesti diberi pujian. Kalau beginilah pemimpin politik dulu-dulu, berdetik juga hati saya betapa tentu soal pencurian, penyamunan dan perompakan hasil tidak menjadi legenda sumpahan yang menunggu tujuh keturunan baru habisnya.
Cuma satu. Saudara Khir mungkin boleh melihat bagaimana sebuah (saya hanya mahu menamakan sebuah sahaja ) pulau bernama Pulau Nanas di Johor, tidak jauh dari Pasir Gudang. Hampir sangat pula ia dengan negara jiran. Kalau saudara sedemikian sungguhnya menentang cara hasil galian dipunggah, bukan sahaja di Selangor, tetapi juga di negara kita, tentunya apa yang bakal saudara lihat di pulau itu lebih mengejutkan. Mungkin juga pulau itu telah tiada dalam peta sekarang kerana pada tahun 1999 ia telah dikorek, ditebuk sehingga menjadi sebuah tasik dikelilingi air laut. Saya tak dapat gambarkan kemarahan saudara kalau melihat bagaimana kerja memunggah galian dilakukan, terutama batu-batunya yang diangkut berulang kali ke negara jiran.
DEBUS DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Yang jelas isu pasir tak menarik sokongan orang menyokong UMNO. Lainlah kalau dibuat sebuah pekan tersusun atau perkampungan nurseri bunga di (Orchard Road) @Jalan Kebun, contohnya. Barulah ia sesuatu yang menggambarkan kecerdikan pemimpin demi membela bangsa Melayu yang sekian lama terhenyak, terhentak dan tersepak.