Ramai teringin menjadi penulis atau wartawan, terutama kerana teruja apabila mendapati nama mereka tercatat sama di atas berita yang ditulis. Bagi wartawan yang pertama kali memasuki dunia kewartawanan, mereka berasa terlalu bahagia dan gembira yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata apabila namanya tercatat di dalam akhbar dan ditatap oleh ratusan ribu pembaca. Dalam dunia kewartawanan, nama wartawan yang tertulis itu dikenali sebagai 'byeline'.
Bagaimanapun, sebelum dapat merasai atau menempuh kebahagiaan itu, kita harus menyediakan diri dengan kemahiran dan ilmu khusus supaya impian menjadi wartawan akan terus menjadi kenyataan. Ini boleh dijadikan realiti dengan bakat, kesungguhan dan kemahiran berterusan.
Dalam penulisan berita, sejak dulu dinyatakan bahawa ada beberapa elemen penting mesti diberi perhatian oleh wartawan sebelum menulis. Dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai 5W dan 1H yang bermaksud, Apa, Bila, Di Mana, Siapa dan Kenapa. H pula merujuk kepada How. 5W ini ialah What, When, Where, Who dan Why. Manakala H ialah How. Kesemua elemen ini mesti ada dalam perenggan pertama atau bersambungan pada perenggan kedua berita sebagai cara memastikan berita atau maklumat yang ditulis itu jelas dan mudah difahami. Tanpa elemen 5W dan1H, maklumat atau berita yang ditulis tentu bercelaru dan menyebabkan pembaca tertanya-tanya.
Contoh: Anda sedang melalui sebatang jalan. Tiba-tiba terserempak dengan kemalangan melibatkan motosikal dan kereta. Penunggan motosikal seorang remaja terbaring maut, manakala motosikalnya remuk. Pemandu kereta seorang lelaki tua dan tidak mengalami kecederaan. Apabila pulang ke rumah, anda menceritakan kepada keluarga anda tentang kemalangan itu. Di sinilah kemahiran menyampaikan maklumat dan kepentingan elemen 5W dan 1H itu menjadi penting supaya maklumat atau 'cerita' anda mudah difahami.
Jika kemalangan itu mahu anda tuliskan sebagai berita, maka ia akan menjadi seperti berikut:
SHAH ALAM: Seorang remaja terbunuh apabila motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta dipandu lelaki tua dalam satu kemalangan jalan raya di Kampung Orchard Road, di sini kira-kira jam 10 pagi semalam.
ULASAN:
Perhatikan penggunaan 5W dan 1H. What? Dijawab dengan kemalangan. Where? Di Kampung Orchard Road. Who? Dijawab dengan remaja penunggang motosikal dan pemandu lelaki tua. Why? Dijawab dengan motosikal bertembung kereta. When? Dijawab dengan jam 10 pagi semalam. Sementara How pula dijawab dengan seorang remaja terbunuh.
Peri pentingnya maklumat yang ditulis secara ringkas dan padat dapat menjimatkan masa serta memudahkan pembaca memahami apa yang mahu disampaikan....bersambung