Nampak macam pilihanraya semakin dekat. Nampak sangat-sangat, tapi cuma tak nampak tarikhnya. Nampak juga puak-puak tertentu sedang gigit menggigit dan bertarik rambut mahu membasuh beberapa kerusi yang selama ini ada tuan punya, tetapi dibiarkan berdebu.
Janganlah macam itu. Berebut kerusi macam budak sekolah. Nun, di hujung padang sana, ada puak-puak lain sedang memasang khemah berwarna-warni. Saya tak tahu untuk apa. Tapi mengikut logik akal yang dah tepu dengan cerita-cerita politik dan pilihanraya, tentu ada majlis mahu diadakan. Mungkin kenduri kahwin? Atau kenduri khatan? Atau majlis menyampaikan sumbangan kepada orang-orang susah?
Bila pilihanraya tiba, ramai yang seronok tapi ramai juga yang sengsara. Tapi dalam banyak yang seronok dan banyak yang sengsara, ada juga puak sedang memerhatikan dengan tajam mata harimau. Tajam seperti mata kucing batu.
Dengar cerita ada puak gembira sangat-sangat kerana dengar laporan konon parti mereka boleh menang. Saya cuma nak berdehem sikit-sikit.
Macamlah kaedah MLM. Satu orang cakap buruk kepada 5 orang yang lain. Kalau ada 1,000 orang sudah ada 5,000 orang yang dengar cerita buruk. Kalau yang sudah dengar buruk tak undi, jangan mimpi nak menang.
Selagi tak meletakkan diri separas panas, sehina rakyat yang terhina, selagi itu saya rasa payahlah! Minta lalu.