nuffnang ads

Saturday, July 3, 2010

JANGAN SILAP GUNA PERKATAAN BERSARA (B)

Sekadar pesan dan ingatan kepada saudara-saudara pejuang dalam kewartawanan, khususnya dalam bidang jenayah atau berita semasa.

Masih berlaku kesilapan/kealpaan berhubung penggunaan pangkat pada nama pegawai tentera dan polis dalam penulisan berita. Masalah ini berlaku sejak sekian lama dan seakan-akan tidak akan ada noktahnya. Barangkali kesilapan ini tidak disengajakan. Bagaimanapun, ia meninggalkan kesan emosi dan paling penting penggunaan pangkat yang silap boleh menjejaskan imej pegawai beruniform.

Pandangan saya begini. Penggunaan perkataan bersara, biasanya dikurungkan (B) hanya boleh digunakan bagi pegawai tentera yang bersara berpangkat daripada Leftenan dan ke atas. Sementara pegawai tanpa tauliah atau anggota lain-lain pangkat (NCO atau LLP) TIDAK boleh menggunakan perkataan bersara atau (B) pada pangkal nama mereka. Ini kerana hanya pegawai tauliah Agong sahaja diwartakan menggunakan kependekan (B) itu sahaja. Malanglah dalam penulisan berita masih ada berlaku kesilapan. Untuk lebih jelas, pangkat Pegawai Waran 1 atau 2, sarjan, koperal, lans koperal atau perajurit TIDAK boleh ditulis (B) di pangkal nama mereka di dalam penulisan walaupun mereka telah bersara.

Penggunaan (B) pada pangkal nama bekas pegawai polis juga tidak boleh dilakukan walaupun ketika bersara mereka berpangkat Asisten Komisioner, Deputi Komisioner atau Komisioner sekalipun. Masih berlaku misalnya dalam rencana (saya tidak mahu sebutkan medianya) Sarjan (B), ASP (B) dan Koperal (B).

Kefahaman jelas dan penggunaan betul tentang pengwartaan penggunaan pangkat di pangkal nama ini akan menjadikan sesebuah organisasi media dipandang tinggi imejnya oleh pengurusan pasukan beruniform.

Selain kesilapan penggunaan perkataan (B), kesilapan juga berlaku termasuk pada sebutan pembaca berita atau wartawan penyiaran televisyen apabila kadang kala menyebut Ketua Polis Daerah yang berpangkat Asisten Superintendan Polis (ASP) sedangkan haikatnya pangkat Ketua Polis Daerah (OCPD) pada kebanyakannya adalah Asisten Komisioner Polis atau ACP. Perbezaaan amat ketara antara ASP dan ACP. Ia seperti perbezaan pangkat melibatkan seorang Kapten dan Kolonel di dalam angkatan tentera.

Teguran ini barangkali boleh membawa kebaikan kepada pengamal media dan barangkali juga berguna kepada bakal wartawan yang masih mengikuti pengajian di dalam bidang komunikasi massa atau sebaran am. Penggunaan tepat bagi setiap pangkat melambangkan keprihatinan dan kefahaman organisasi media terhadap carta organisasi badan beruniform.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10