Ini pengalaman 1Malaysia. Pengalaman yang berlaku sejak zaman merdeka sehingga ke hari ini. Selalu juga saya ke Kuala Selangor. Salah satu daerah di Selangor yang terkenal dengan kesan peninggalan sejarah.
Cuma pengalaman ini sering saja membuat saya menitiskan air mata. Sering saya berendam air mata setiap kali mengimbau kenangan 1Malaysia ini. Kisahnya, bagaimana pembuat batu nisan keturunan Tionghua begitu fasih dan berkepakaran. Sama ada mengukir batu atau menulis nama si mati pada batu nisan.
Saya sempat berbual. Bukan sekali, mungkin lebih sepuluh kali. Saya tanyakan, kenapa menceburi bidang ini? Dia kata, ini perniagaan turun temurun keluarganya. Saya tanya lagi ke mana kawasan paling jauh batu nisan itu dipasarkan? Dia beritahu, ada ejen datang sejauh dari Terengganu, Pulau Pinang, Perak dan Melaka menempah batu nisan daripadanya. Kemudian saya tanya lagi. Bila mula belajar menulis jawi? Dia jawab tak pernah belajar secara formal. Dia belajar daripada pengalaman. Mula dulu katanya, dia suruh pelanggan tulis sendiri nama si mati di atas kertas. Kemudian dia tiru perlahan-lahan tulis di atas muka batu nisan yang ditempah. Lama kelamaan katanya, dia terus mahir. Tak perlu pelanggan tulis nama lagi. Hanya sebut sahaja nama, dan dia akan terus tulis di atas batu nisan. Menakjubkan!
Itu kurang menghibakan saya. Berkesempatan bertemu ayahnya yang berusia lebih 80 tahun, saya tanyakan sejak bila dapat kontrak batu kuari itu. Dia kata dah berpuluh tahun. Dulu, salah seorang saudaranya pernah cedera dikepit batu ketika menjalankan kerja-kerja memecah batu untuk dijadikan batu nisan. Tapi itu tidak mendatangkan jeran atau serik. Perniagaan batu nisan terus mereka usahakan dan dilihat daripada satu sisi yang positif kita harus berbangga kerana bangsa asing sudi menceburi perniagaan yang ada kaitan dengan kematian orang Islam. Tak salah saya katakan ia relevan dengan konsep 1Malaysia. Tepat dan sungguh benarnya!
Yang menyebabkan air mata saya sentiasa bergenang ialah tak adakah orang Islam yang boleh disuruh supaya memonopoli perniagaan ini. Ini kerana ia membabitkan soal maruah dan kehormatan kita. Negara telah lebih 50 tahun merdeka. Pemimpin Melayu, parti Melayu. Tapi batu nisan pun sulit sangat kita jadikan industri eksklusif yang hanya untuk orang Islam. Bukan apa..tapi atas nama maruah dan kehormatan.
Kadang-kadang saya tertanya juga ke dalam hati. Jauh dan tingginya kita mahu terbang tapi kepak yang ada milik orang. Barangkali pemimpin Melayu perlu melihat sisi positif batu nisan ini sebagai satu cara untuk mengembalikan hormat orang Melayu pada pemimpin. Tolonglah...