Kasihan Hishamudin pening kepala mencari jawapan kenapa generasi muda kelihatan menyokong Perdana Menteri tapi pada masa yang sama tak mahu menyertai parti Umno atau parti-parti komponen di dalam Barisan Nasional. Saya terpaksa membantu memberi sedikit daripada beribu jawapannya.
Jawapan saya adalah seperti berikut:
1.Kerajaan dilihat oleh generasi muda sebagai masih lemah dan tidak berupaya menyelesaikan masalah-masalah kecil, hatta sebesar debu. Mana mungkin mereka mahu menyertai parti politik kerana bimbang dipolitikkan, sebaliknya masalah asas yang mereka mahu lihat diselesaikan, mungkin tidak akan selesai.
Contoh masalah yang kelihatan susah diselesaikan oleh kerajaan walaupun ia sepatutnya dilihat sebagai amat kecil bak debu di hujung jari tetapi telah menyusahkan rakyat sekian lama adalah seperti berikut:
a. Harga cili meningkat sehingga ada mencecah RM18 sekilogram. Generasi muda berpelajaran hairan dan pelik. Kalau ditanya kenapa harga tinggi, dijawap pihak berkaitan faktor cuaca. Adakah ini munasabah? Malaysia ada TANAH SUBUR, ada AGENSI BERKAITAN PERTANIAN YANG mempunyai pakar dan penasihat pertanian. Sepatutnya mereka memiliki mentaliti kelas pertama. Kenapa cili yang senang tumbuh mesti mahal harganya dan terpaksa diimport sebagai jalan penyelesaiannya.
b.Gula selalu timbulkan masalah. Generasi muda terkejut, negara hanya hasilkan 1 (satu) peratus sahaja gula dalam negara. Selebihnya iaiatu 99 peratus lagi diimport dari luar negara. Kita ada TANAH SUBUR, ada banyak kilang proses gula. Ada pelbagai macam logistik sokongan, tapi masalah gula berlarutan seolah-olah tiada hentinya. Terutama di segi harga dan mudah untuk mendapatkannya.
c. Ada agensi berkaitan kerajaan lembab dan tidak efisien. Contohnya TNB kadang-kala gagal menghantar bil atau mengambil tindakan memutuskan bekalan apabila ada penghuni tidak membayarnya lebih tiga bulan. Akibatnya ada pemilik rumah menanggung hutang apabila rumah mereka yang disewa dikatakan mempunyai tunggakan beribu-ribu ringgit selepas penyewa cabut lari. Begitu juga Pejabat Pos. Tinjaulah mana-mana pejabat pos. Kaunter disediakan banyak, tapi susah sangat hendak dibuka kesemuanya walaupun pelanggan menunggu separuh gila.
Ya benar. Saya tahu sangat orang politik akan melihat masalah ini sebagai bukan masalah berbanding masalah lain seperti biasiswa, pemilikan tanah, perjanjian air, peruntukan sekolah jenis kebangsaan, jalan raya di kampung-kampung baru atau peruntukan untuk rumah ibadat. Tapi percayalah, selagi mentaliti pemimpin politik menganggap 1,001 masalah kecil yang berlarutan sebagai bukan masalah dan dipandang sebelah mata, selagi itulah generasi muda sekarang dan generasi akan datang tidak akan menyukai pemerintah.