1. "Aku tak akan maafkan engkau orang dunia dan akhirat. Engkau orang zalim buat aku macam ini. Engkau orang tahu tak, dengan berniaga tepi jalan macam ini aku besarkan anak-anak aku. Engkau rampas barang-barang aku sama macam engkau tutup mulut anak aku dari minum susu. Nak cari sesuap nasi pun susah" - Seorang peniaga di Kuala Lumpur menjerit memaki hamun apabila barang-barangnya dirampas kerana berniaga tanpa lesen.
2."Ini negara akulah. Kalau orang seberang boleh berniaga, kenapa aku tak boleh. Apa aku ni anak haram ke? Bukan anak Malaysia?" - peniaga di Kuala Lumpur menangis meluahkan perasaan.
3."Aku tetak kepala engkau orang kalau robohkan rumah aku. Aku tak merompak menyamun. Tolonglah ada hati perut sikit. Engkau orang ini firaun ke apa? Ini ke nama sayangkan anak bangsa?" - seorang pemilik rumah setinggan di Ampang meradang apabila rumah setinggan didiaminya bersama anak-anak dan isteri lebih 30 tahun mahu dirobohkan.
4."Tolonglah encik. Saya anak sulung, dah banyak kali cari kerja. Pergi temuduga semua buang tambang aje. Semuanya guna orang dalam. Kalau jawatan kerani tu tak payahlah mintak. Nanti dapat penat aje. Yang dapat kawan orang dalam jugak" - luahan anak yatim kematian bapa menghadapi kesulitan mencari kerja menyara keluarganya.
5."Kedai R&R mintak tak dapat, gerai Mara mintak tak dapat, gerai MBSA, gerai MBPJ gerai DBKL semua macam tu. Bukan setahun encik. Berbelas tahun..macam inikah kata nak tolong anak bangsa?" - rintihan peniaga mendapatkan ruang berniaga tidak kesampaian.
6."Anak saya dah dekat sepuluh kali gagal ujian undang-undang. Duit dah banyak habis. Kami orang susah. Kenapalah nak buat lesen moto pun susah sangat?" - keluhan seorang ibu sewaktu anaknya masih gagal untuk mendapatkan lesen memandu.
7."Saya kerja cari tin, cari kertas nak tolong keluarga. Kami orang susah. Apa? JKM? Kami tak tahu nak berurusan macam mana?" -seorang remaja lelaki berhenti tingkatan enam dan terpaksa bekerja mengutip barangan terpakai membantu keluarganya yang daif.
8."Dahlah dia tak mahu keluar dari bilik. Suruh kerani dia aje berurusan. Saya mintak tolong tandatangan pengesahan borang pinjaman IPTA pun cakap tak boleh. Kata sibuk sangat. Nak tandatangan tak sampai lima minit. Bukan nak jadi penjamin. Jadi saksi aje. Pengetua sekolah apa namanya macam ni!" - bebel seorang ayah tidak dilayan langsung seorang pengetua sekolah untuk mendapatakan tandatangan sebagai saksi borang pinjaman IPTA di Shah Alam.
Sengaja saya catatkan semula antara luahan anak bangsa Melayu yang merintih sepanjang hidup mereka. Ini hanyalah sebahagian daripada berpuluh ribu masalah yang menyebabkan kadang-kala hati orang Melayu jadi terluka. Dan luka itu bagi sebahagian mereka belum tentu sembuh sehingga beberapa keturunan. Barangkali pemimpin politik perlu membaca catatan ini dengan hati lapang dan bertanya kepada diri sendiri, sejauh mana mereka telah membantu orang Melayu.
DEBUS-DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Pernah satu masa dulu seorang Melayu yang kecewa kerana tak siapa pun membantunya ketika dia berdepan bencana berkata yang dia hilang hormat pada mereka yang bergelar pemimpin. Fikir-fikirkanlah.