Nota:( Sajak ini disiarkan di dalam Berita Minggu sekitar 1997. Yang menariknya sajak ini saya tulis kerana hati membisikkan sesuatu. Yang jelas sajak ini ditulis sebelum Anwar ditahan, sebelum Anwar ditumbuk matanya. Saya hitamkan sesetengah perkataan barangkali mahu mengingati sesuatu yang berlaku secara kebetulan.)
Lelaki Melayu yang parah itu
pernah dikatakan menyuap kata-katanya
ke mulut orang lain
dia juga pernah disifatkan dedalu
bertenggek di pohon
bagaikan mitos toyol
menghisap darah tuan sendiri
pernah dikatakan tidak setia
barangkali seperti Jebat
yang menderhaka
dia juga pernah dikatakan
daun kering yang cuba menongkah arus
Lelaki Melayu hampir buta sebelah matanya
pernah dikatakan serba tak boleh
melihat laut bukan dengan biru air
tapi dengan mata gelombang
dia juga pernah ditolak
daripada kumpulan yang besar ke pinggir
menjadi kecil dan kerdil
Lelaki Melayu hampir bertongkat itu
pernah dipersoalkan asal-usulnya
dia juga didakwa di mahkamah terbuka
dengan juri yang menutup telinga
dia tak pernah menang dengan hak
Semalam, lelaki Melayu yang parah itu
menoleh arah datang
dengan mata kuyu dia merenung
jalan pulang
dia mahu jadi lelaki Melayu
yang benar-benar lelaki
mengunci lolong dan raung
dalam senyap penuh tekad
Dia mahu jadi akar pohon
mencakar tanah
membina daun
yang redup dan rimbun
HAMID KARIM
Bandar Baru Uda, Johor Bahru
Berita Minggu
Julai 1997.