Menyatakan keberanian pada masa dan keadaan yang tidak betul akan menyerlahkan erti ketakutan. Saya teringat pesan seorang kawan satu ketika dulu tentang hal ini. Kawan saya itu berkata, ada orang menjerit dan melolong menunjukkan yang dia seolah-olah berani, tetapi sebaliknya pada ketika itu dia memang dalam ketakutan pada pandangan orang lain.
Saya rujuk hal Felda saman Suara Keadilan. Pada pandangan saya, Felda tidak perlu menyaman akhbar itu. Pertama kerana kalau pengurusan Felda menyifatkan ia tidak benar dan tidak menjadi kudis, anggaplah laporan itu bagai nyamuk atau lalat. Kalau benar sekalipun, berapa sangat darjah keburukan yang boleh dibawa oleh akhbar itu.
Saya memberi pandangan ini dari kacamata seorang penulis. Felda, organisasi yang besar tidak harus melayan laporan seperti itu. Anggaplah ia bagai angin lalu. Kalau mahu dikutkan, lebih baik Felda membuat kerja yang lain daripada melayan laporan seumpama itu. Saya langsung tidak nampak buruk yang diberikan oleh laporan itu. Tidak nampak. Bagai debu di hujung jari, apatah lagi ia ditulis oleh akhbar yang tidak berwibawa.
Melaung-laung memprotes menampakkan tidak matangnya pemimpin terutamanya UMNO dan saya sifatkan cara ini sudah berlalu berpuluh tahun lalu. Hal yang bodoh kalau dilayan akan membuat kita bodoh. Sama seperti melayan orang gila, kita nanti akan dikatakan gila. Saya senang melihat UMNO ada perubahan di segi sikap, tapi meluat cara-cara sebegini!
Kata orang tua-tua, apalah sangat mahu didengar kata orang. Lainlah memang apa yang orang kata itu sememangnya benar. Satu lagi, saya terfikir juga. Kenapalah melenting sangat, sedangkan saya baca semua akhbar. Baca Star, Utusan, NST, Berita Harian, Harakah, Suara Keadilan dan apa sahaja akhbar saya jumpa, saya akan beli kalau cukup duitnya. Tak pula saya terpengaruh apa yang ditulis oleh suratkhabar itu. Janganlah kita menganggap semua orang akan rasa terhina atau rasa bimbang dengan laporan Felda Bangkrap itu. Janganlah juga meletakkan kata-kata orang di mulut sendiri atau meletakkan kata-kata sendiri di mulut orang!
Pada masa sama saya teringat. Berani kerana benar dan tak benar orang tak kata.