Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar ada betulnya menggesa kerajaan supaya membenarkan pesalah saman ekor memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka. Gesaan itu tidak bermaksud menggalakkan orang ramai melakukan kesalahan sebaliknya bertujuan mengelakkan kerugian lebih besar di pihak kerajaan.
Rasional Mahfuz meminta mereka yang disenaraihitam akibat saman ekor dibenarkan memperbaharui cukai jalan adalah kerana kerajaan akan terus kerugian. Ini kerana jika pesalah terus-terusan tidak membayar saman mungkin disebabkan masalah kewangan, mereka terpaksa menggunakan pelbagai kaedah termasuk menggunakan kenderaan tanpa cukai.
Pada masa yang sama, kerajaan tentu kerugian besar kerana kutipan cukai jalan tidak dapat dilakukan. Amatlah besar kerugian kerajaan kerana jika terdapat 1 juta kenderaan yang dilarang pembaharuan cukai jalannya, bermakna kerjaan gagal mengutip kira-kira RM50 juta jika purata cukai jalan dikenakan pada setiap kenderaan sebanyak RM50.