Ezam nampak sangat cuba menjadi hero. Bakat hero yang ada pada dia macam mahu ditonjolkan sepenuhnya. Cuma saya kasihan, siapalah sangat yang mahu mendengar cakap orang seperti dia. Mungkin banyak sebab orang tak berapa peduli lagi cakap dia. Salah satunya, mungkin orang kurang percaya sebab kelihatan dia seperti kurang berprinsip. Dulu sokong orang sana, hari ini sokong orang sini.
Tapi dalam hidup ini kita bagilah peluang setiap orang menonjolkan bakat yang dia ada. Sama ada mampu membuat orang ketawa, terpulang pada jenis lawak atau penerimaan orang. Kata kawan saya, ikut suka kau lah jang!
Seorang kawan petang tadi terbuka cerita fasal ketua puteri UMNO Putrajaya dilaporkan hilang hampir setahun. Langsung tak dapat dikesan. Entah apa sebab, saya tak mahu ulas. Cuma kasihan juga jawatankuasa lain kena letak jawatan untuk buat pemilihan baru. Ini kalau yang hilang ketua cabang PKR atau ketua ranting PAS, mahu satu negara kecohnya.
Demikianlah. Apa dalam saku, kadang-kala tuan punya baju sendiri pun tak tahu. Yang biasanya berlaku, orang lain lebih tahu dan berlagak tahu apa yang ada dalam saku orang lain. Peliknya, keadaan ini berlaku lebih kerap di kalangan orang politik.
Semalam, Seman kawan saya yang sekolah takat darjah lima datang bercerita fasal gula. Macam wak janggut dan Bodoi yang suka bercerita fasal gula, Seman pun mahu bercerita panjang-panjang hal itu dengan saya. Dia ulang lagi yang Malaysia hanya hasilkan 1 (satu) peratus sahaja gula untuk kegunaan. Baki 99 peratus lagi diimport. Mak datuk! Seman geleng-geleng kepala. Saya faham. Itu tanda hatinya mula panas. Sekejap lagi, muntahlah ludahnya. Betul!
Kata Seman, apa ke jadah susah sangat nak hasilkan gula sendiri sampai gaduh-gaduh import gula luar. Tuhan dah bagi tanah subur. Campak batang tebu, minggu depan tumbuh tunas. Kilang gula pun banyak dalam negara. Felda pun boleh tolong. Oppss....Kata Seman lagi, Tuhan dah tolong bagi tanah subur kita leka. Minyak masak pun mahal, gula pun mahal. Kalau jadi macam negara Afrika yang tanah tak subur-subur, barulah agaknya kita tahu gunakan akal untuk berfikir majukan negara.
Terima kasih Seman. Kau bijak, sayangnya rezeki kau untuk jadi menteri tak ada.