nuffnang ads

Sunday, July 4, 2010

YANG TERSIRAT DAN TERSURAT

Tun Mahathir dalam blognya mempersoalkan kenapa orang Melayu susah sangat untuk bersatu demi bangsanya, tetapi boleh pula bersatu menentang judi. Terasa macam ada yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Cuma saya ingin kembalikan sedikit, mungkin sebesar debu rahsia berlaku di kalangan pelajar Universiti Malaya pada tahun 2001. Ini pun ada yang tersirat di sebalik yang tersurat. Persatuan mahasiswa UM biasanya menerbitkan sebuah buku tahunan berjudul Varsiti dan pada tahun 2001 itu terbitlah Varsiti 2001.

Menariknya, penerbitan buku itu tidak seperti buku-buku sebelumnya. Buku Varsiti 2001 entah di mana puncanya mencetuskan kontroversi, polemik dan kemarahan di kalangan UMNO. Mahu tidaknya. Sesiapa pun boleh marah dan naik angin, bila kandungan buku itu tidak seperti sepatutnya. Di dalam buku itu terkandung gambar Mahathir, gambar menteri-menteri lain seperti Rafidah Aziz dalam wajah yang amat buruk sekali dilakarkan. Selain itu buku berkenaan mengandungi rencana tulisan yang boleh menyebabkan seseorang boleh menjadi marah dan benci.

Maka sejak keluarnya buku itu, media arus perdana pun memuatkan pada muka depan akhbar mereka tentang kelakuan buruk dan perbuatan tidak sopan menghina Mahathir dan menterinya di dalam buku itu. Lantang sungguh menteri-menteri memberi komen. Antaranya ada seorang menteri wanita yang meminta supaya Naib Canselor meletakkan jawatan. Alasannya kerana gagal mengawal siswa dalam penerbitan buku yang kurang ajar itu. Semua jari menuding ke arah pelajar UM. Konon kata siswa UM begitu banyak menentang kerajaan dan ini adalah sesuatu yang merisau dan merusuhkan hati pemimpin kerajaan. Mana tidaknya? Terang-terang mereka berani menghina dan mencerca pemimpin kerajaan dalam buku yang sepatutnya dijadikan penerbitan tahunan.

Fitnah dan tohmahan ke atas naib canselor tidak terkira. Kenapa saya katakan tohmahan atau fitnah? Sebab buku itu bukan ditulis atau diterbitkan oleh siswa UM. Bukan! Bukan! dan Bukan! ia diterbitkan oleh puak tertentu yang saya rasa banyak pihak pun boleh tahu. Maksud saya macam kerja jahat bakar bendera!

Maka, hati saya tidak puas. Dicabar untuk membuktikan ia bukan kerja siswa yang tidak berdosa. Akibatnya, terbuktilah benar. Saya masih ingat malam itu, IGP Datuk Norian Mai dan beberapa pegawai termasuk pengarah Siasatan Khas dan penolong pengarah bertemu di sebuah hotel di Shah Alam. Turut bersama saya ialah Dr Sabree Salleh, anak Melayu pakar taekwando yang handal itu. Dr Sabree banyak membantu.

Rancangan dibuat. Tindakan diambil. Satu aras Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya jadi saksi, apabila beberapa orang disoal siasat.

Dipendekkan cerita, bukan siswa UM yang jahat tapi ada orang politik dan orang tertentu yang jahat. Saya tahu, ramai yang masih ingat tentang penerbitan buku itu. Varsiti 2001. Betapa dalam buku itu seorang Perdana Menteri dihina oleh orang lain, tetapi tergamak hati menjadikan siswa sebagai mangsa. Macam baling bom sembunyi tangan.

Moral cerita ini ialah, jangan terlalu percaya pada sesuatu yang nampak di mata sahaja. Mungkin ada orang yang kerjanya bakar bendera parti atau pukul kawan sendiri yang mungkin berlindung di sebalik gua hantu.

Ingat-ingatlah. Kerja buruk akan terbongkar juga. Kepada Tun Mahahthir saya doakan semoga dipelihara daripada keburukan orang.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10