Yang tempang datang bertongkat. Yang tuli tertanya-tanya. Yang buta dipimpin orang. Yang kurap tergaru-garu. Yang mereng tersengih-sengih. Yang lelah mengheret lidah. Yang pening bertampal setem. Kasihannya mereka. Puas orang ditanya-tanya. Merata jalan diukur-ukur. Kasihan mereka, rakyat bawahan yang majoritinya orang Melayu.
Puas dicari tak jumpa-jumpa. Akhirnya pecahlah marah, meledaklah caci nesta. Mana tidaknya. Mereka telah dijanjikan sebuah KLINIK 1MALAYSIA di Kota Kemuning, Shah Alam. Tempatnya juga diuar-uarkan di bawah bangunan pangsapuri. Hampalah rakyat yang miskin yang telah dijanjikan perkhidmatan itu.
Sedang tempat lain telah sedia wujud kliniknya, Kota Kemuning masih tiada. Orang miskin bukan persoalkan apa, tetapi mereka persoalkan janji. Mereka pertikaikan gula-gula yang telah dijanjikan kepada mereka. Soalnya di mana?
Bercerita hal pedih payah dan duka Melayu yang sedemikian rupa, jangan pula dianggap orang Melayu tidak sayang bangsa dan pemimpin dari bangsanya. Tapi ukurlah rasa, betapa kecewanya mereka. Dijanjikan dapat rawatan di tempat yang murah, tapi janji hanya tinggal janji. Di manakah keikhlasan dan kesungguhan sebenarnya?
Klinik 1Malaysia adalah hak semua, tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik mereka. Kalau sudah dijanjikan, cubalah menunaikannya. Kadang-kala hal-hal sebegini sering terlepas pandang. Konon masalah yang kecil sebesar hama. Tapi jangan lupa. Janji dalam kehidupan orang bergelar manusia, sebenarnya amat besar ertinya. Kalaulah benar ada pertikaian dengan pemaju konon enggan membenarkan tempat tertentu dijadikan klinik itu, jangan biarkan yang bertongkat dan terjelir lidah tidak ketentuan begitu sahaja. Uar-uarkanlah sedikit rasa maaf kepada mereka. Jangan hanya bila tiba pilihanraya, disalahkan mereka. Konon tak mengenang jasa, tak mengenang budi. Soalnya, sering benar janji tidak tertunai. Sering benarlah hati mereka terluka!