MALAM ini malam penentuan. Berbekalkan kelebihan dua gol, pemain negara sewajarnya melihat ia sebagai satu kelebihan untuk menempah tiket ke peringkat akhir merebut piala Suzuki AFF 2010.
Bermainlah bermati-matian asal jangan sampai mati! Fokuskan segala tumpuan dan jangan pula terlalu yakin serta memandang rendah keupayaan lawan. Dalam permainan bola sepak, sebenarnya apa sahaja boleh terjadi. Bola yang bulat boleh menukar ceria kepada ralat. Kelekaan sesaat, akan bertukar menjadi kesalan sepanjang hayat.
Strategi digunakan dalam perlawanan pertama separuh akhir di Stadium Bukit Jalil, malam kelmarin amat sesuai dikekalkan. Menguasai bahagian midfield selain memagar setiap inci ruang di kawasan pertahanan akan menyebabkan pemain penyerang lawan cepat berputus asa.
Serangan balas mengejut dan laju juga menjadi antara senjata yang bakal meranapkan impian dan ego besar Vietnam untuk membalas sekurang-kurangnya tiga gol dalam perlawanan malam tadi.
Ayuh pemain. Anda tak perlu kemenyan atau parang atau pedang. Masuklah ke gelanggang dengan hati lapang dan fikiran tenang. Kuasai setiap inci ruang dan insyaAllah anda akan menang!