BERDASARKAN REALITI, terbukti Syabas dan Puncak Niaga Sdn Bhd telah gagal melaksanakan tugasnya sebagai penjaga amanah untuk membekalkan air bersih kepada rakyat di Selangor, berikutan data dan rekod menunjukkan kedua-dua syarikat itu tidak mempunyai kewangan mencukupi, selain dibebani hutang.
Dengan keengganan Tan Sri Rozali menyerahkan pengurusan air kepada kerajaan negeri walaupun ditawarkan dengan harga RM9.2 bilion bermakna, ada yang tersirat di sebalik tindakan itu. Rakyat faham bahawa syarikat yang jujur adalah syarikat yang berkemampuan bukan sahaja di segi kewangan, tetapi juga di segi pengurusan. Namun berdasarkan realiti, Syabas dan Puncak Niaga Sdn Bhd tidak memiliki ciri-ciri dan kriteria itu. Maka langkah terbaik untuk menjaga kepentingan rakyat adalah dengan menyerahkan pengurusan air di Selangor kepada kerajaan negeri dan Tan Sri Rozali pula berundur.
Rakyat di Selangor tidak mahu ditindas, apatah lagi golongan Melayu yang mengharapkan anak Melayu untuk menjaga kepentingan mereka. Namun di sebaliknya pula yang berlaku. Kerajaan negeri hanya menawarkan kenaikan harga air sebanyak 12 peratus tetapi Syabas menawarkan kenaikan 37 peratus. Apakah ini satu tindakan atau perbuatan untuk menjaga kebajikan rakyat?
Rakyat di Selangor juga tidak mahu urusan pembekalan sumber air ini dipolitikkan kerana rakyat Selangor tahu, Tan Sri Rozali adalah orang politik Umno yang cenderung berpolitik lebih daripada menjaga kepentingan rakyat, khususnya dalam urusan pembekalan air.
Bukti telah tersuluh, di mana Tan Sri Rozali yang mengetuai Gabungan Wawasan Peneroka Felda (GWGF) telah memohon untuk menjadikan badan itu sebagai ahli bersekutu di dalam parti Umno.
Maka dengan rendah hati, kami rakyat Selangor mahu Tan Sri Rozali melepaskan urusan pembekalan air di Selangor kepada kerajaan negeri. Ini bukan kerana beliau ahli Umno atau telah memohon mendaftarkan pertubuhan yang dikendalikannya sebagai ahli bersekutu Umno, tetapi atas dasar rakyat Selangor tidak mahu melihat pengurusan air dikendalikan mereka yang cenderung berpolitik!