MUNGKIN ada yang tidak menyedari bahawa wang tidak dituntut di negara ini berjumlah sehingga RM4 bilion sehingga kini.
Demikian kata Datuk AwangAdek Hussein, Timbalan Menteri Kewangan. Katanya, wang itu mungkin tidak disedari oleh pemiliknya. Beliau juga menyarankan orang ramai mengemukakan tuntutan kepada Bank Negara atau cawangannya yang berdekatan.
Perkara sebeginilah sebenarnya yang mahu diketahui rakyat. Mahu diketahui sedalam-dalamnya. Mencadangkan rakyat menuntut hak mereka jika ada, nampak mudah cuma pihak berkuasa atau kerajaan seharusnya menunjukkan jalan dan cara sebenar bagaimana rakyat mahu menuntut hak mereka yang terkandung dalam istilah wang tidak dituntut itu.
Pihak yang berkenaan harus menjelaskan perkara ini sebaik-baik dan sejelas-jelasnya. Bagaimana caranya untuk menuntut, gunakan borang apa, wang yang sebagaimana boleh dituntut dan pelbagai perkara lagi.
Saya percaya tidak ramai rakyat yang tahu cara bagaimana menuntut wang itu walau pun ada di antara mereka tahu simpanan terakhir di dalam lima enam bank mereka sebelum ini terbiar puluhan tahun sehingga mencecah ribuan ringgit.
Rakyat amat memerlukan bantuan kerajaan dan jelaskan mereka caranya. Tunjukkan mereka jalannya satu persatu kerana tidak semua rakyat faham dan mengerti. Malah mereka tahu untuk menuntut wang itu sebenarnya tidak semudah seperti yang diungkapkan.