PEMBACA mempunyai dua pilihan. Pertama, suratkhabar. Kedua kertas jamban yang ditulis beritanya dari najis manusia yang hitam hati perutnya!
Bagi katogeri suratkhabar ini, memang ada buruknya, tetapi masih boleh dibaca kerana beritanya ditulis daripada dakwat sebenar. Kadang-kadang dakwatnya bercampur juga keringat dan darah rakyat. Cuma kadang-kala lenggok ayat yang ditulis di atas kertasnya dilencongkan sikit-sikit untuk mengalih perhatian dan fokus pembaca kerana suratkhabar ini sesekali terpaksa patuh pada tuannya.
Bagi katogeri kertas jamban ini, ia dijual sejak awal merdeka. Sentiasa tertulis berita dan cerita mengenai najis orang yang menjadi musuh tuannya. Kadang-kala najis tuannya yang berak di tengah jalan pun dikutipnya, kerana katanya mempunyai nilai berita (news value) yang apabila dikitar semula boleh menjadi dakwat untuk dituliskan sebuah cerita lain - cerita tentang najis musuh tuannya.
Kertas jamban ini macam orang terkena HIV, sedang merana melawan sakitnya. Tapi dalam melawan sakit, kertas jamban ini terus mencari penyakit apabila tidak mahu menghindarkan dirinya daripada najis yang menjadi mekanisme paling mudah menyebarkan pelbagai jenis penyakit.
Sesuailah usianya yang telah tua. Kertas jamban ini telah beranak pinak, bercucu-cicit dan berpiut. Ramai tidak tahu, di dalam banyak waris kertas jamban ini, sebahagian adalah manusia yang mahu kembali ke pangkal jalan. Oleh sebab tidak tahu mereka akan jalan pulang kerana sejak lahir dilumurkan mata dengan najis bapa, datuk dan moyang mereka, maka mereka bagai hamba sahaya yang menunggu pembelaan.
Kertas jamban ini dengar khabarnya semakin diistyiharkan muflis, manakala ada sesetengah kerja lebih masa yang disuruh buat kepada anak-anak cucu cicitnya juga mula dipotong sana-sini. Kecuali bagi kerja mencuci najis yang melekat pada punggung, pada kaki dan tangan tuannya, semua kerja itu kalau dilakukan 24 jam sehari berterusan pun akan mendapat imbuhan yang lebih. Siap bayaran lebih masa dan upah makan dan kalau pada sebelah malam disediakan kenderaan dan pemandu untuk memudahkan anak-anak cucunya menjalankan tugas mengutip najis untuk dikitar menjadi najis.
Berbanding suratkhabar, kertas jamban ini sering sahaja menuduh dan memfitnah musuh-musuh tuannya walaupun dia tahu kebanyakan benda itu tidak benar. Kini kertas jamban ini sedang berada di hujung tahun 2010. Dengar cerita ada rombakan menjelang 2011. Kertas jamban tetap kukenang kerana melukakan hati anak bangsaku! Sayang kertas jamban...nyawamu semakin padam.