SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) menahan dua pegawai imigresen di Port Dickson kerana disyaki menggadai maruah dengan mengutip rasuah RM33,600 seminggu bagi kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara ini menerusi jeti Port Dickson.
"Perniagaan" usahasama dua pegawai imigresen berusia 40-an dan 50-an itu dikatakan telah berjalan lebih empat tahun lalu, berdasarkan siasatan SPRM. Ini bermakna dalam tempoh itu kedua-duanya telah mengutip rasuah hampir RM1.6 juta!
Kedua-duanya dipercayai bekerjasama dengan seorang awam yang bertindak sebagai pengantara bagi semua urusan haram itu. Mereka dan orang awam yang menjadi perantara itu ditahan di jeti Port Dickson, Rabu lalu 7 malam.
Difahamkan, bagi mengelak najis yang sedang mereka taburkan terhidu baunya oleh pihak berkuasa, kedua-dua pegawai imigresen terbabit dikatakan akan turun ke Dumai, Indonesia setiap minggu bagi mengutip bayaran berjumlah RM33,600.
Selepas dibawa ke pejabatnya, SPRM turut menemui wang tunai RM26,000 daripada pejabat mereka dipercayai wang rasuah bagi membenarkan pendatang asing tanpa izin masuk ke negara ini menerusi jeti Port Dickson.
Ini hanyalah tanggukkan yang dibuat secara rambang. Jika dijala dan dijaring selalu, tentu lebih banyak lagi kes sedemikian berlaku di pintu masuk negara ini.
Inilah dia pagar yang memakan pagi dan serigala di reban ayam!