HUJAN debu volkanik yang berterbangan sehingga hinggap ke binaan Candi Borobudur sejak semalam, dikatakan akan menyebabkan peninggalan sejarah itu rosak dalam tempoh terdekat jika kerja pembersihan tidak dilakukan segera.
Ketua Bahagian Konservasi Peninggalan Borobudur, Marsis Sutopo berkata, debu membawa bahan kimia itu kini memenuhi kebanyakan binaan yang diperbuat daripada batu lama. Jika tidak dibersihkan segera, semua batu binaan peninggalan candi itu akan terhakis dan reput.
Kerja pembersihan di candi Borobudur itu telah bermula semalam, tetapi Sutopo bimbang kerana ia tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Katanya, paling cepat kerja pembersihan debu gunung berapi yang melekat pada batu candi itu hanya dapat dilakukan dalam tempoh empat dan lima hari.