SEORANG pengusaha judi haram, membabitkan pertaruhan menggunakan mesin dan ramalan nombor diberkas sepasukan polis di Singaraja, Bali kerana menjalankan kegiatan haram itu secara besar-besaran walaupun dia pernah ditahan tiga kali sebelum ini kerana kesalahan serupa.
Luh Mas atau dikenali Ratu Togel di kalangan polis Indonesia, diberkas dalam satu serbuan malam tadi bersama sejumlah wang RM4,700 dan mesin perjudian serta rekod transaksi perjudian harian membabitkan pelanggan luar daripada daerah itu.
Jurucakap polis Indonesia, M Yudi Hartono berkata, pihaknya telah lama mengintip kegiatan Ratu Togel itu bersama rangkaiannya yang dipercayai antara rangkaian perjudian haram terbesar di Indonesia.
Berdasarkan maklumat dan risikan, polis menyerbu premis milik Ratu Togel malam tadi walaupun berlaku kekecohan akibat tentangan yang diberikan oleh beberapa pengawal yang diupah mengawasi kawasan itu daripada diserbu pihak berkuasa.
Polis percaya, setiap minggu Ratu Togel mengumpul lebih RM30,000 kutipan pertaruhan daripada kaki judi tidak termasuk kutipan judi menggunakan mesin yang dianggarkan berpuluh unit di premis berkenaan.