POLIS telah diarahkan oleh Peguam Negara supaya menjalankan siasatan lebih lanjut dan mendalam berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga yang lain. Kertas siasatan mengenai kes itu dihantar polis ke pejabat peguam negara semalam.
Arahan itu adalah antara beberapa arahan yang digariskan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail ketika kertas siasatan yang diserahkan oleh pihak polis dikembalikan semula hari ini.
Turut mendapat perhatian ialah arahan Peguam Negara supaya polis turut menyiasat beberapa kes lain yang disyaki ada kaitan dengan suspek.
Ketua Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, dalam kenyataannya dipetik berkata Peguam Negara mendapati banyak isu yang masih memerlukan penyiasatan lebih lanjut dan mendalam dan arahan mengenainya telahpun diberikan kepada pihak polis.