LELAKI itu berusia 40-an. Dia kakitangan kerajaan di Putrajaya. Pasangannya isteri orang, berusia 20-an. Juga kakitangan kerajaan di Putrajaya. Hubungan gelap lelaki sudah bersuami dengan isteri orang itu, bukannya baru sehari dua. Dah lama. Usah temberanglah. Kalau tidak mustahil bulan Ramadan ini pun berani berdua-duaan dengan bini orang.
Semalam, mereka terperangkap. Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyerbu apartmen tempat mereka berselingkuh. Lambatnya mahu pintu dibuka. Selepas puas mengetuk dan menunggu lama, barulah kekasih gelap lelaki itu yang telah ada dua anak membuka pintu rumahnya.
Cuak juga penguatkuasa Jawi mulanya. Apa tidaknya. Tak nampak pun kelibat lelaki. Tapi macam cari semut dalam gula, kena teliti. Kalau kasar-kasar nanti terpicit semut habis, gula dikencingnya. Maka Jawi pun membuka mata luas-luas mencari. Nah engkau...tiba-tiba mereka terpandang kelibat seorang lelaki tanpa baju berdiri di luar beranda apartmen.
Apa lagi. Nak terjun ke tidak? Mungkin itu soalan yang bermain di dalam fikiran lelaki itu. Jawi terpaksa memberi 'tazkirah' untuk memujuk dia masuk dan tidak berdiri di situ bagi mengelakkan dia terjatuh. Lelaki itu pun akur. Tapi masa digari, dia buat pula rayuan. Katanya nak jemput isteri di tempat kerja nak maklumkan yang dia dah kantoi. Tapi tak payah susah-susah. Berita macam ini memang cepat sampai. Trafik dia laju. Entah bila masa entah, isteri dia yang sarat mengandung telah ada di bawah apartmen menunggu!
Maka terisak-isaklah lelaki itu memeluk isterinya memohon maaf. Aduhai...bayangkan perasaan isterinya yang mengandung itu.