Shafik Abdullah bersama rakannnya juga dipercayai menjadi mangsa suspek pembunuhan Sosilawati. |
KERETA jenis Honda miliknya ditemui di sebuah kondominium di ibu kota, tidak lama selepas dia dilaporkan hilang. Hubungan dengan telefon juga terputus. Mirip kehilangannya tak ubah seperti skrip kehilangan Datuk Sosilawati dan tiga yang lain.
Isteri mangsa, Samson Nahar Mohd Dali percaya, selepas berada di Banting minggu pertama Aidilfitri lalu untuk membantu siasatan polis, misteri kehilangan suaminya itu ada kaitan dengan pembunuhan dan lebih 90 peratus dilakukan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.
Shafik Abdullah, 37, tidak dilaporkan hilang bersendirian, tetapi bersama seorang lagi sahabatnya yang juga rakan kongsi perniagaan batu permata.
Difahamkan, Shafik seorang kontraktor dari Sungai Petani memberitahu keluarganya mahu berjumpa seorang peguam (suspek utama pembunuhan Sosilawati) bagi satu urusan perniagaan lima bulan lalu, tetapi selepas tiba di ibu kota, dia terus hilang dan tidak dapat dihubungi lagi.
Samson Nahar Mohd Dali, dipetik Berita Harian sebagai berkata dia percaya suaminya turut menjadi mangsa bunuh peguam, seperti mana nasib buruk yang menimpa Sosilawati, pemandunya, Kamarudin, pegawai bank, Noorhisham dan peguam Ahmad Kamil.
Laporan serta kes kehilangan Shafik ini difahamkan telah dirujuk kepada Ibu Pejabat Daerah (IPD Polis Brickfields.
Semakin banyak kes terbongkar selepas pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain terdedah. Peguam dua beradik yang menjadi suspek utama mesti dihadapkan secepat mungkin ke muka pengadilan bagi memastikan dia mendapat hukuman setimpal. Rakyat semakin pedih hati mendengar satu persatu kes membabitkan dia dan adiknya.
Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan dipetik berkata, majlis peguam berharap tindakan paling tegas dan hukuman paling berat dikenakan kepada suspek utama. Ini kerana katanya, majlis peguam tidak akan melindungi sesiapa pun ahlinya yang melakukan jenayah.