(Sumber The Star 11 Julai 2010)
Siapa kata judi diterima oleh masyarakat Cina sebagai budaya? Siapa kata tanpa judi bukan Cinalah namanya? Siapa kata Cina tidak pernah menolak judi sebagai budaya dalam kehidupan mereka? Barangkali ada sebab tertentu kenapa golongan otak lutut di negara kita bermati-matian mempertahankan bahawa judi tidak boleh dihalang kerana ia untuk orang Cina atau untuk orang bukan Islam. Sehingga tergamak mereka menyindir golongan anti judi sebagai puak yang terlalu ekstrem.
Aduhai! Bacalah The Star hari ini. Dengan tajuk "Gambling Dad Hit a Sour in Idol Star's Life". Kongsilah perasaan seorang anak KAKI JUDI yang juga merupakan pemenang ketiga Malaysian Idol 2004, Vick Teo.
Remaja 25 tahun berasal dari Ipoh itu memberitahu The Star, ayahnya pernah satu ketika tergamak menjual kereta keluarganya, televisyen, piano, sofa dan pernah juga menggunakan yuran sekolah kakaknya untuk membayar hutang ditanggung akibat perjudian.
Berikutan desakan hidup berpunca daripada ketagihan judi, Vick Teo mendedahkan ibunya terpaksa bekerja kuat menjadi guru vokal sebagai jalan terakhir membantu mengatasi kemelut keluarganya.
Selain itu remaja berkenaan turut mengakui bahawa kaki judi biasanya akan melakukan terlalu banyak pembohongan dalam hidup mereka dan sering pula menipu bagi mendapatkan wang daripada orang lain.
"Ayah saya selalu mabuk dan sering bertindak ganas apabila kalah judi. Dia tidak mampu bertahan pada satu-satu pekerjaan yang tetap" katanya.
Cuma terasa sayu juga apabila Vick memberitahu The Star bahawa ibunya pernah memberitahu bahawa ayahnya selalu membantu menukar lampin yang dipakainya ketika dia masih bayi. Kata Vick, dia tahu ayahnya memang sayangkannya, tetapi tamak untuk mendapatkan wang menyebabkan segalanya berubah.
Bertindak dari kesedaran berdasarkan pengalaman peribadi keluarganya, Vick menyertai sebuah pertubuhan Gamblers Rehab Centre (GRC) bulan lalu dengan aktif dalam kempen kesedaran anti judi melibatkan 100 destinasi di seluruh negara.
Apa yang dilakukan Vick adalah sesuatu yang murni dan mungkin boleh membuka mata pihak yang melihat judi sebagai sesuatu yang boleh membantu negara.
DEBUS DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Apalah gunanya wang kalau jiwa runtuh dan hati lumpuh.