Tanyalah Rasid betapa luka dan sayunya hati kami, betapa luluh dan walangnya perasaan kami apabila isteri seorang kenamaan menghulurkan kami sedulang kurma dan air zam-zam sambil memohon kami meninggalkan pintu pagar rumahnya. Betapa pilunya hati kami sebagai manusia apabila dia dengan lembut penuh harap berkata: "Pulanglah dik. Maruah suami saya sudah seperti di bawah tapak kasut. Pulanglah, tapi jamahlah dulu kurma ini". Kami pun manusia, tapi dihimpit antara tugas dan rasa bersalah kami buang sejenak jiwa yang lara.
Segala dukacita kalau dikenang-kenang akan membuatkan saya menitiskan air mata. Namun apalah daya. Atas nama perjuangan menghidupkan sebuah akhbar, kami menempuhnya biarpun ada hati terluka, ada jiwa yang lara.
Demikian juga rusuh hati kami, walang jiwa kami siapa yang pernah membacanya? Kecuali tertulis di atas kertas yang sering disajikan kepada pembaca. Kami tak pernah melihat ke belakang, untuk bersoal atau meluahkan kesal. Kami tahu, akhbar yang dibeli ada di antaranya akan dijadikan bungkusan makanan selepas dibaca. Itu pun kami masih bersyukur, berbanding ada di antaranya dibuang ke dalam tong sampah atau dikoyak merata-rata. Sesekali ternampak nama kami tercacat pada suratkhabar yang ronyok dan rabak itu, sayu benar rasa hati.
Rizal Hashim pemilik Rizalhashim.blogspot.com seorang lelaki yang serba boleh. Bekas wartawan Harian Metro ini adalah penulis dan pengulas serta ketua segmen sukan sebuah akhbar tempatan yang disegani. Beliau bertatih hanya seketika sebelum mampu berlari dan kadang kala pecutannya melebihi kuasa kuda wartawan senior di mana sahaja dia berada. Kami tak pernah berjumpa sejak sekian lama selepas masing-masing membawa haluan. Saya tergigil-gigil melepasi tebing curam di tepi-tepi kolam takungan, manakala dia berjalan menyusur cul de sac taman-taman indah. Namun esprit de corp yang dibina dari pengalaman kerja tanpa mengenal jerih dan aso dalam sebuah pasukan masa lampau, saya yakin masih kukuh pautannya. Di dalam pautan itulah juga kami simpan memori bersama. Manis pahit dan hiba sayu.
Semalam, Rizal menulis barangkali sebagai salutasi yang saya rasa amat mengharukan. Seorang anak muda satu ketika dulu pernah bersenda dan berjenaka, rupanya masih luhur atmanya mengingati saya. Mana mungkin saya lupakan. Bersama berpayah mengais-ngais berita jenayah di celah-celah longkang kehidupan warga kota. Dari renung mata layu penagih, raung marah bapa ayam, keluh kesal penjual buah di tepi jalan sehinggalah jerkah ugut penjenayah kami kulum semua itu dalam sabar demi amanah.
Rizal seperti mengembalikan segala suka duka lalu, seolah-olah semua itu seperti baru sahaja berlalu. Tentang Zurina Waji yang diheret memasuki rumah persundalan seawal bekerja, diajak bersama menghidu aroma dari nanah dan pekung sosial manusia gelandangan, tentang Saniboey bersama memburu scoop, tentang Munir yang sering meluahkan gelisah dan tentang seribu satu hal-hal rakan senyawa bidang tugas merakam degup nafas dan aksi manusia -manusia yang sedang bergelut dalam kesakitan sosial di ibu kota.
Mana mungkin kami melupakan, hal dan peristiswa dicaci dan diugut sehingga ke paras nyawa, menyusur siang malam di lorong belakang, memburu kalau-kalau ada berita yang boleh diteguk bersama secawan kopi oleh pembaca di esok hari.
Kami redah kebiasaan, dengan langkah yang luar biasa. Malu dan aib kami telan perlahan-lahan setiap kali dicerca mengusung nama sebuah akhbar yang sedang bertatih. Rasid Rahman, Ahmad Al Husna, Wan Sabariah, Johari Mohamad, Dahlan Makmor, Abu Bakar Atan, Al Abror, Norfatimah, Marko @ Azhar Mat Ganti, Noor Azmi Mat Noor, Yahya Zain, Yahya Hashim, semua bergabung dalam satu semangat. Kami berusaha menegakkan tiang sebuah rumah di tengah tawa dan sinis mereka yang belum mengerti. Jangan lupakan Saniboey. Pernah ditahan mengikut OSA. Jangan lupakan jurugambar Marko yang dihambat kayu beluti keliling kereta. Jangan lupakan jurugambar Yahaya Hashim dikurung di tapak pembinaan. Bersenjatakan kamera, sebatang pena dan buku nota, menyusur setiap inci ruang kota. Kami tak akan pulang ke pejabat selagi tiada berita yang boleh menggembirakan bos yang menunggu.
Bos-bos lama, Mior Kamarul (Datuk), Ahmad Fuad, Hishamudin (Datuk) dan Zian Johari, Hafifi (Datuk) dan Mustafa (Datuk) terus menerus menyambung tugas mengepalai sebuah akhbar, supaya terus bersidang dan bertakhta memenuhkan cangkir kepuasan pembaca.
Kami tetap berusaha membina sebuah tapak yang kukuh. Kenangan itu sukar amat dilupakan. Sebaik tiba di pintu masuk Balai Berita, kami lupakan anak isteri, kami lupakan ayah ibu atau keluarga atau orang yang tersayang. Kami berikan segala kasih, curahkan segala cinta kepada sebuah akhbar bernama Harian Metro. Tanyalah di antara kami, ada diancam bunuh, ada diugut sehingga trauma. Namun perjuangan kami tak pernah luntur. Langkah tak pernah berundur.
Kami belajar di sebuah universiti bergelar Harian Metro. Kini kenangan itu kami bawa dalam haluan masing-masing, berbungkus dalam kotak dipanggil pengalaman. Sesekali kami merinduinya juga. Ketika-ketika itu kami akan membuka bungkus memori yang membalut semua kenangan itu, sekurang-kurangnya dapat menghidu bau keringat dan air mata yang telah kering sekian lama.
Terkenang juga allahyarham pak Samad semasa hayatnya pernah dilantik sebagai penasihat Harian Metro oleh Pengarang Kumpulan BHSB ketika itu Datuk Ahmad Nazri.
RIZAL, percayalah bahawa benih yang baik kalau hanyut ke laut menjadi pulau. Kalau terdampar di gurun menjadi danau. Selamat berjuang. Doa saya sentiasa basah di hujung lidah mengharapkan kesejahteraan semua.