Seman yang cepat panas baran itu datang lagi. Duduk diam-diam di sebelah saya, dia memesan secawan kopi O. Mukanya sedikit ceria. Awal bual kami bercerita hal-hal biasa termasuklah bahas sikit-sikit fasal tulisan Kunta-Kinte dalam Berita Harian beberapa hari lalu.
Kata Seman, ada betul juga kata Kunta-Kinte. Orang Melayu dikatakan malas bukan sebab mereka malas tapi disebabkan oleh penjajah yang ada agenda. Saya angguk. Seman cerita pula fasal tulisan kunta-kinte yang dulu. Kata Seman, Kunta-Kinte pernah tulis, orang Melayu masih perlukan tongkat kerana bangsa asing yang berjaya pun dapat juga tongkat.
Saya mencelah. Saya kata orang Melayu cuma dapat tongkat gangsa. Bangsa asing pula dapat tongkat emas. Seman angguk. Saya bangga, sebab Seman jarang mengangguk kalau menyetujui sesuatu. Ego Seman setinggi Gunung Angsi di Kuala Pilah.
Seman baru sahaja mahu bertanyakan saya siapa itu Kunta-Kinte, apabila datang pula Bodoi menumpangkan basikalnya pada tiang kedai kopi bawah pohon ceri itu.
Saya tak jadi memberitahu Seman. Saya tak mahu Bodoi tahu. Kalau Bodoi tahu, tiadalah eksklusif lagi nama Kunta-Kinte sebab mulut Bodoi tak ada insurans. Bodoi akan jaja setiap benda baru yang dia tahu sampai habis keliling kampung.
Seman cuit paha saya. "Malam nanti callling-calling. Aku nak tahu siapa Kunta-Kinte tu?" dia berbisik. Bodoi perasan dan bertanya.
Saya terpaksa berbohong. Saya katakan kepada Bodoi yang Seman nak pinjam duit tapi saya hanya tinggal RM5. Seman menjeling. Bodoi mengerutkan kening.
Lepas teguk kopinya habis, Seman minta diri. Tapi sebelum sempat dia menghidupkan enjin motosikal, dia sempat ulang lagi. Kata Seman lebih kurang begini: "Aku nak cari benih tebu. Aku nak tanam belakang rumah. Aku nak buat gula. Aku kasihan negara kita hanya hasilkan 1 peratus sahaja gula. Bila dapat gula nanti, aku bagikan engkau seorang sekilo!"
Aku pandang ke arah Bodoi. Bodoi pandang ke tanah.
"Seman marah sangat fasal gula ya!" beritahu Bodoi.
Saya diam. Dalam hati terkenang-kenang. Bukankah Seman dulu pernah bercita-cita mahu menjadi menteri. Tapi tak kesampaian.
DEBUS-DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Tapi kadang-kala otak Seman lebih baik dari otak.....