Kawan-kawan semua tanya. Lama tak dengar atau tak nampak muka Idris Jala dalam suratkhabar. Saya kata, apa fasal sibuk-sibuk fasal Idris, sedangkan entah-entah dia langsung tak pernah sibuk untuk fikirkan hal dan masalah kita.
Hal Idris Jala kata kawan-kawan seronok juga sebab dulu dia pernah cakap negara boleh bankrap kalau subsidi tak ditarik balik. Macamlah kerajaan menanggung rakyat semua seperti menanggung biawak hidup. Lagi pun, kalau kata 2019 boleh bankrap, itu dah semakin hampir tahun kita dicanang-canang akan jadi negara maju, 2020.
Kawan-kawan saya memang pelik. Seronok tiba-tiba cerita fasal Idris Jala. Kata seorang, dia rindukan ucapan-ucapan Idris di televisyen. Seorang lagi kata, Idris ketika ditemubual dalam soaljawab TV3, seronok sangat membentang kejayaan merancang itu dan ini. Tentang jenayah kurang, tentang pemandu, tentang NKRA dan tentang entah apa-apa lagi. Tup-tup ngomel kawan tu, semakin jarang pula tengok gambar dia dalam suratkhabar sekarang.
Tiba-tiba masa bercerita itu Seman pun datang. Seman jenis tak peduli orang. Terus dia cakap, Idris Jala kena kuarantin kut?
Saya terus tegur Seman: "Seman jaga mulut kau tu!" Akhirnya Seman minta maaf, tapi mulut dia mana pernah ada insurans. Katanya: "Kenapa sekarang orang tak cerita lagi fasal nak tarik subsidi? Ceritalah lagi!"
Kemudian, kawan-kawan saya yang baru datang dan tak pernah berjumpa Seman itu pun memohon diri untuk pulang. Sewaktu bersalam dengan Seman, saya terdengar mereka bertanyakan Seman: "Kerja kat mana?"
Jawab Seman: "Saya kerja tanam tebu. Nak buat Gula. Nanti kalau gula asyik kena import, negara boleh bankrap bagi subsidi!". Terdiam semua kawan-kawan saya dan entah di mana keajaibannya, mereka pun duduk semula dan memesan nescafe tarik dari kedai Milah janda.
Seorang kawan saya kemudian memberitahu Seman. Bagus kalau ada usaha sendiri nak bantu kerajaan tapi Seman bantai cukup-cukup. "Kita aje nak bantu, tapi bila kita suruh tolong hasilkan gula lebih banyak buat macam pekak badak!"
Semua kawan saya tersentak. Saya pujuk mereka, saya katakan Seman memang ada sawan kalau cerita bab-bab gula!
Kemudian Seman tambah pula. Dia kata menteri memang pandai cakap itu cakap ini. Nak rancang itu nak rancang ini. Tapi pernahkah mereka terfikir, apa yang dirancang kadang-kala tak boleh dilaksanakan. Seronok kawan-kawan saya. Mereka mula faham rentak Seman. Perlahan-lahan mereka sokong bila Seman kata selagi kita tak balik kepada pertanian untuk tampung keperluan rakyat, selagi itulah jangan harap rakyat boleh hidup senang.
Kemudian saya pintas cakap. Saya uar-uarkan bahawa ada berita dalam AnakMudaKampung NakSenang AMKNS.blogspot yang tulis fasal pengedar dadah Colombia dan pemberontak di Sri Lanka mampu buat kapal selam. Di Colombia kapal selam itu yang dibuat di sebuah kawasan terpencil digunakan untuk mengangkut 12 tan dadah dan boleh memuatkan enam orang. Maka, Seman pun melompat. Nanti aku pergi blog tuu nak baca! Muka Seman macam semut baru dapat kokang gula tepi piring panas.
Aku dah cakap, kata Seman lagi. Dalam apa-apa hal pun kalau kita nak buat, kita boleh buat. Yang penting iltizam kita. Kalau pengedar dadah pun boleh buat kapal selam, tak kan lah kita tak boleh buat gula dan jual pula ke luar negara. Semua kawan-kawan saya dongak muka memandang Seman penuh bangga.
"Jangan kata alasan macam-macam. Kos mahal lah, apa lah!" kata Seman. "Ingat!" dia menyambung macam seseorang sedang berkempen dalam pilihanraya. "Ingat..negara kita hanya hasilkan 1 peratus sahaja gula. Tak percaya, tanya Mustapa Mohamed!"
Saya pun bangun memberi hormat. Diikuti kawan-kawan yang lain. Sekurang-kurangnya dengan semua berdiri, Seman pun tak akan berlama. Kalau ada apa-apa lain yang mahu dia cakap, simpan untuk esok. Bukankah perjuangan masih panjang. Jangan kau habiskan semua cakap kau hari ini Seman!
DEBUS DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Seorang kawan entah apa maksudnya, bertanyakan saya fasal makna ISA. Saya kata Ikut Suka Ati.