Ramai betul anak Melayu yang layak dikatakan belum mendaftar sebagai pemilih. Entah sebab apa, tiada siapa yang dapat memberi jawapan pasti.
Mungkin ada yang tak kena? Ya...baru teringat. SPR yang tak kena. Diberi tugas tapi tak tahu dan tak pandai menjalankan tugas. Dalam dunia tanpa sempadan, tanpa kertas sekarang sepatutnya SPR gunalah cara daftar automatik. Semua yang berusia 21 tahun terus layak jadi pemilih. Kenapalah susah sangat. Kawan saya yang tak pandai cakap perkataan susah, terus tanya saya kenapalah bingai sangat?
Saya terkejut. Rupanya taklah susah kalau daftar pemilih secara automatik. Saya ingat susah sangat, macam kena panjat gunung, atau macam kena masuk laut telan air masin atau macam susah kena teguk air sabun. Senang rupanya. Tapi alahai kenapalah SPR. Kenapalah SPR sedemikian siput.
Kalau tengok di tv tu, bila dikritik ada saja jawab. Jawapan yang kadang kala menggelikan hati. Jawapan macam apabila tapak kaki kena geletek. Geli teramat sangat. Tapi nak buat daftar automatik tak reti?!
Kelmarin Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, dipetik berkata antara punca orang Melayu masih menjadi kumpulan belum mendaftar ialah kerana KURANG RASA TANGGUNGJAWAB, TIDAK PEKA SITUASI POLITIK TANAH AIR DAN GEMAR MENDAFTAR PADA SAAT AKHIR. Muluk-muluk benar alasan yang keluar dari calah bibir Abdul Aziz.
Tidakkah dia SEDAR bukan orang Melayu yang kurang rasa tanggungjawab atau tidak peka situasi politik tanah air tapi SPR yang TIDAK ada rasa tanggungjawab sebagai badan yang bertugas berkaitan pilihanraya. Pelik bin ajaib bin hairan. SPR sepatutnya yang memikirkan cara paling efisien dalam soal daftar ini, bukan mencari salah orang. Macam kita buka kedai. Kita salahkan pelanggan, sedangkan kita tak buat promosi terbaik untuk tarik pelanggan.
Ini tidak, dulu SPR salahkan parti politik. Kini salahkan pemilih pula. Aduh...saya mintalah supaya SPR beli cermin dan lihat wajah sendiri. Itu tugas kamu! Itu Tugas kamu!
Kalau tahu orang susah sangat melintas sungai, buatlah jambatan. Kalau susah daki gunung, belilah helikopter. Kalau susah sangat nak daftar, daftar saja ikut automatik. Kalau kita boleh buat kereta, kalau kita boleh pergi angkasa, kalau kita boleh saman juta-juta, mustahil urusan nak daftar automatik susah sangat. Budak sekolah pun tahu.
Tolonglah SPR. Kata orang, kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Dalihlah lagi..dalihlah lagi. Esok lusa semakin ramai tak berdaftar.