nuffnang ads

Sunday, July 4, 2010

267 GURU DI SABAH DAPAT SURAT TUNJUK SEBAB

Seramai 267 guru di Sabah diberikan surat tunjuk sebab gara-gara sering terlambat dan terbabit dalam masalah ponteng atau ketidakhadiran. Mengejutkan ada guru terbabit yang dikatakan pulang awal ke kampung di Semenanjung mulai 24 Mei lalu, walaupun hakikatnya cuti persekolahan hanya bermula 5 Jun. Berdasarkan laporan The Star, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Dr Muhiddin Yusin, mengesahkan 117 daripada mereka telah menerima surat berkenaan manakala bakinya dalam proses menerima.

Aduhai guru. Kalau benarlah demikian jadinya, di manakah letaknya profesionalisme yang didukung yang sekian lama dihormati dan dimuliakan masyarakat. (Ada kawan saya bertugas sebagai guru berkata kini mana ada lagi penghormatan masyarakat terhadap profesyen ini) Apakah ini isyarat awal betapa profesyen perguruan hanyalah satu kerjaya yang tidak lebih sekadar makan gaji di kalangan segelintir mereka yang terbabit?

Hakikatnya, kerosakan telah berlaku. Cemar dan calar telah terjadi. Ini semua hanya kerana sifat dan sikap segelintir guru yang tidak mampu memikul amanah yang diberikan. Akibatnya jadilah seperti nila setitik merosakkan susu sebelanga.

Hal-hal buruk yang dilaporkan sebenarnya tidak bertujuan mencemarkan profesyen itu. Ia mesti dianggap sebagai ingatan dan nasihat paling ikhlas dan jujur. Hal-hal guru gagal berfungsi sebagai pendidik dalam erti kata sebenar bukan isu terpinggir. Bagaimana pula dengan segelintir guru yang membuat kerja luar, mencari pendapatan sampingan seperti menjadi jurulatih memandu, wartawan sambilan, ejen jualan langsung dan broker hartanah? Ada di antara mereka seakan-akan menyifatkan guru hanya satu kerjaya sambilan berikutan pendapatan daripada kerja sampingan itu mencecah lima enam kali ganda gaji mereka.

Saya pernah melihat seorang guru perempuan menghadiri kursus jurulatih memandu anjuran JPJ bagi mendapatkan Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM). Guru ini turut memancing anak-anak murid yang dikenalinya supaya mendaftar sebagai calon belajar memandu yang turut diusahakannya bersama si suami yang juga kakitangan kerajaan?!! Begitu juga hal dengan wartawan sambilan yang ada di antara mereka adalah golongan guru. Tidak bertujuan mempertikaikan bakat atau kebolehan atau rezeki yang mereka perolehi, cuma bayangkan di mana masa yang mereka ada untuk melakukan semua itu. Pertama masa rasmi sebagai guru sepenuh masa dan masa tidak rasmi untuk mencari pendapatan sampingan.

Andai semua pekerjaan sampingan dilakukan di luar waktu bekerja tidak mengapa. Ini tidak, ada di antara golongan itu sanggup menghilangkan diri sekejap-sekejap ketika bekerja hanya kerana mengejar peri pentingnya kerja sampingan.

Kadang-kala kita harus menelan hakikat bahawa teguran perlu ditelan walaupun pahit.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10