Jangkasuhu politik sejak awal tahun 2011 sebenarnya menunjukkan darjah kepanasan di Sarawak telah melampaui suhu biasa. Neraca yang mengukur kekuatan Barisan Nasional (BN) juga memperlihatkan mata dacingnya senget dan condong menyebelahi ke arah bawah - zon luar kawalan.
Kabus yang sering terapung di ruang udara negeri penuh hijau itu mulai hilang disingkap bilah-bilah cahaya yang ditebar oleh sang suria - matahari yang selama ini ditutup mendung selama 30 tahun. Jalur-jalur cahaya semakin terang dan jelas.
Namun perubahan suhu politik ini tetap cuba disembunyikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Genggaman kuasanya tetap tidak mahu dilepaskan, walaupun beliau merasai sendiri genggaman pada kuasa itu sebenarnya semakin longgar. Abdul Taib tetap menyanyikan lagu-lagu lama - persis dondang sayang yang meratip di luar musim. Persis seekor harimau yang telah ketiadaan taring tapi masih bernafsu mahu memburu habuan mangsa yang berdaging mentah.
Abdul Taib sebenarnya semakin jauh tersilap beraksi di luar masa. Ketika orang duduk, dia bangun. Ketika orang tidur, dia jaga. Ketika orang menangis, dia ketawa. Sayang, Abdul Taib tidak mampu lagi membaca barometer yang ada untuk mengukur sepatutnya dia harus berada di mana ketika ini.
Hari ini, 16 April satu sejarah bakal tercatat. Sejarah luka dalam politik Abdul Taib bakal tertulis. Sejarah pedih dalam politik Barisan Nasional. Rakyat Sarawak yang selama ini patuh dan mendengar sahaja senandung politik Abdul Taib, kini mula berubah selera. Janji Abdul Taib semakin tidak menarik ingin halwa telinga mereka untuk mendengarnya. Hari ini, rakyat Sarawak mulai bangkit, bangun menunjukkan mereka tidak lagi mahukan Abdul Taib. Maka, seluruh negara akan menyaksikan bagaimana satu persatu kerusi tumbang - dihadiahkan rakyat kepada parti lain, parti pilihan mereka.
Penolakan terhadap BN di Sarawak kali ini, sebenarnya telah lama berbunga. Ia kemudian mekar dan berputik. Selepas lama berputik hari ini, penolakan rakyat terhadap Abdul Taib dan BN akan sempurna menjadi buah! Maka akan sempurnalah ketewasan seorang lelaki berusia 79 tahun di dalam sejarah politik Sarawak - kekalahan penuh cemar oleh kesilapan sendiri.
Generasi muda Sarawak telah lama berhijrah ke negeri lain di Semenanjung. Penghijrahan mereka bukan sekadar hijrah biasa. Mereka berhijrah untuk mempelajari sesuatu yang Abdul Taib tidak jangkakan. Generasi muda Sarawak hari ini pulang dengan satu semangat. Dalam diri mereka penuh luka melihat pembangunan 30 tahun di Sarawak yang jauh ketinggalan apabila dibandingkan dengan pembangunan di negeri yang mereka pergi di Semenanjung. Generasi muda Sarawak telah mula membuka mata. Mereka sedar pembangunan pada darjah yang amat tidak seimbang dalam tempoh 30 tahun di bumi kelahiran mereka berbanding pembangunan yang berlaku di Selangor dan Lembah Klang misalnya, membuatkan mereka nekad dan tekad melakukan perubahan. Mereka sedih melihat jalan raya di Selangor berbanding jalan raya di kampung halaman. Mereka melihat bagaimana rakyat di Semenanjung menikmati kemudahan elektrik, air dan pelbagai prasanara lain dengan cukup mewah sedangkan masih banyak keluarga mereka di Sarawak menadah air hujan dan menggunakan pelita minyak tanah selama 30 tahun.
Ya, anak muda Sarawak hari ini menyumbang peratusan terbesar ke arah mencatat sejarah memalukan dalam politik Abdul Taib. Anak muda Sarawak yang hanya bergaji sekitar RM400 jika bekerja di ladang-ladang dan hutan-hutan Sarawak tetapi boleh meraih melebihi RM1,500 apabila bekerja di Semenanjung, mulai membaca sesuatu yang dinamakan ketidakadilan dan ketidakseimbangan selama negeri itu dipimpin oleh Abdul Taib. Maka mereka pun akan membetulkan keadaan itu melalui undi pada hari ini.
Pandangan terkini tentang menang kalah BN di Sarawak boleh dibaca lebih kurang begini. BN dijangka tidak akan mendapat lebih daripada 30 kerusi daripada 71 kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan besar pembangkang yang sebelum ini hanya meraih lapan kerusi pada 2006 adalah manifestasi rasa tidak puas hati di atas keangkuhan ahli politik yang tidak faham apa yang dimaksudkan dengan perkataan selamat jalan dan selamat tinggal! Dua perkataan yang bergelora dalam dada rakyat Sarawak yang mahukan lebih daripada sekadar janji manis.
Hasrat Najib untuk menjadikan prestasi cemerlang Sarawak pada pilihanraya ini sebagai kayu ukur dan pemangkin untuk PRU ke 13 juga bakal menjadi mimpi ngeri. Selepas beberapa siri kemenangan berterusan dalam pilihanraya kecil di Semenanjung yang dikatakan konon adalah petanda rakyat menyokong parti memerintah, menjadi di sebaliknya dengan kekalahan begitu banyak kerusi BN di Sarawak kali ini. Betul kata orang tua-tua, sabar itu ada hadnya. Apabila sabar telah tiada, maka perubahan di luar jangka akan berlaku. Dan inilah yang bakal kita saksikan di Sarawak.
Untuk memudahkan kita memahami siapa menang dan siapa kalah sebenarnya amat mudah. Jika keputusan yang diumumkan di televisyen dan radio malam ini seakan-akan pergerakan seekor siput, itu adalah tanda BN dan Abdul Taib sedang memujuk hati. Lebih parah kalau-kalau ada pula yang memupuk segenggam garam ke pangkal luka di hatinya.