nuffnang ads

Saturday, February 19, 2011

MENGENANG PEMERGIAN SUDIRMAN 22 FEBRUARI: SAYA KECEWA KERANA GAGAL MENCARI KAY (KAMARIAH)

MENGENANG PEMERGIAN ALLAHYARHAM DATUK SUDIRMAN ARSHAD
 22 FEBRUARI

SALAH SATU TUGAS saya ketika menjadi wartawan dulu adalah untuk mencari  Sudirman (selepas dia tidak diketahui di mana lokasi tinggalnya sepanjang hayatnya ketika sakit). Walaupun saya sedih dan pedih kerana hanya mampu bertemu pada saat akhirnya di atas pembaringan di rumah kakaknya Rodziah, namun saya anggap tugas yang diamanahkan oleh pembaca Harian Metro dan peminat allahyarham Sudirman dapat juga saya laksanakan.

Namun satu perkara yang gagal saya laksanakan seperti sering diharapkan peminat allahyarham dan juga pembaca akhbar HM ialah mencari dan menemubual Kay (Kamariah) bekas isteri Sudirman.

Sehingga kini selepas sekian lama Sudirman meninggalkan kita, kegagalan saya untuk mencari dan menemui Kay tetap saya rasakan. Saya pernah berharap untuk bertemu Kay, namun sehingga kini semua itu hanya tinggal harapan.

Ketika dulu saya mempunyai sekurang-kurangnya satu pertanyaan kepada Kay jika saya berpeluang menemuinya. Soalan itu ialah benarkah Kay tidak langsung mahu mengingati atau menyayangi bekas suaminya itu?

Namun demikianlah kehidupan. Setiap kali 22 Februari datang saya pasti bersedih mengenang pemergian Sudirman kerana terlalu banyak peluang utnuk menemuinya ketika dia sihat, tetapi saya terleka. Saya hanya menemuinya pada saat dia telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah memberkati rohnya sepanjang masa.

Kepada Kay, saya meminta maaf. Semoga Kay atau mereka yang mengenali Kay terbaca catatan ini, sampaikan salam maaf saya. Semoga beliau sihat dan sentiasa bahagia dalam kehidupannya.

Perkahwinan, perceraian, hidup dan mati adalah babak dalam kehidupan manusia. Semoga tiada kecil di hati dan tiada sesal di jiwa. Kepada yang telah pergi kita doakan semoga ditempatkan di sisi mereka yang beriman. Kepada yang masih hidup berdoalah untuk memperbanyakkan kebaikan.

Salam ingatan untuk semua ahli keluarga allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Melihat gambar tapak rumah keluarganya yang bersemak di TV3 tadi, sayu pula rasa hati. Di situ saya pernah berada pada saat-saat jenazahnya dibawa dari Bangsar sebelum dikebumikan di Temerloh. Di situ saya pernah melihat ramai menitiskan air mata mengiringi pemergian insan seni yang amat disenangi peminatnya daripada kalangan pelbagai bangsa.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10