nuffnang ads

Friday, June 11, 2010

TERIMA KASIH EN MD SOLEHAN DAN PUAN JAINISIAH

Awal pagi menguruskan remaja 21 tahun, Noraidah Baharin, mengemukakan permohonan ketiga mendapatkan Mykadnya. Berita mengenainya tersiar dalam Berita Harian 9 Jun 2010. Tengah hari tersiarnya berita itu, 3 pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara Seremban, berkunjung ke rumah nenek remaja itu.

Jam 9 pagi bergerak ke Seremban, namun berlaku salah faham dalam komunikasi apabila Noraidah tidak memaklumkan menerima panggilan telefon yang meminta dia terus ke ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya. Kami pun berpatah semula ke Putrajaya. Namun kami sempat menemui dua pegawai di pejabat JPN Seremban dan berbincang hampir setengah jam.

Di Putrajaya, saya dilayan oleh beberapa pegawai bahagian perhubungan awam, diketuai Pegawai Perhubungan Awamnya, Jainisah Mohd Noor. Sedikit tegang apabila saya sedikit emosional dalam mendapatkan jawapan kenapa masalah remaja berkenaan berterusan. Namun, Janinisiah walaupun dari riak mukanya sedikit kurang senang dengan provokasi saya, dapat menahan perasaan dan menjelaskan bahawa JPN memang memerlukan salinan sijil nikah ayah Noraidah yang disahkan oleh kedutaan Indonesia. Saya menerima alasan diberikan Jainisiah selepas beliau menghuraikan secara panjang lebar. Secara ikhlas, beliau patut diberi pujian kerana bersedia dengan jawapan dalam menyurai dan menguruskan krisis membabitkan pelanggan sebegini.

Pengetahuannya, selepas saya uji dengan soalan-soalan provokasi ternyata matang dan berisi. Sebagai PRO sebuah jabatan kerajaan, PM pun saya rasa akan berbangga mempunyai seorang pegawai seperti Jainisiah.

Beliau kemudian, mempertemukan saya dengan Pengarah Bahagian Kad Pengenalan, Md Solehan Mohd. Seorang lagi ketua bahagian yang perlu diberi pujian kerana tidak sepatah perkataan beliau pun yang berunsur api. Beliau tenang, matang dan memang layak menjunjung jawatan yang diberikan. Terima kasih kepada beliau dan Jainisiah. Selepas saya serahkan salinan cabutan sijil nikah ayah Noraidah yang ditemui beberapa hari lalu, Md Solehan memberi jaminan akan mengemukakan semula permohonan itu kepada panel mesyuarat untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Terima kasih juga penolong pegawai bahagian siasatan JPN bahagian Seremban, Najib dan Zul Helmi. Anda boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa banyak berkira dan inilah bukti sebenarnya bahawa pegawai kerajaan boleh memenuhi kehendak rakyat jika mereka bersedia untuk berlapang hati dalam menangani sebarang masalah.

Saya berharap, masa depan Noraidah akan kembali cerah dan pertimbangan JPN tentunya didahului dengan doa-doa yang sentiasa basah di lidah anak malang itu kepada mereka yang telah berlapang hati membantunya.

Thursday, June 10, 2010

SEMBANG MAT RONGAK

Telah mulai bersuara. Pimpinan sama ada dari PR atau BN, sama sahaja. Hanya 20 peratus lulus kalau diukur menggunakan skala ujian. BN kebanyakannya Melayu. PR juga banyak yang Melayu. Kesimpulannya, Melayu gagal menjadi pentadbir yang cemerlang. Persoalannya, benarkah?

Lihat Selangor. Lihat Perak atau Negeri Sembilan. Kata orang, apalah sangat yang dicapai oleh kesemua negeri itu. Selangor ditadbir oleh PR. Negeri Sembilan oleh BN. Perak pula, ditadbir oleh BN selepas PR.

Duduk menghirup kopi pekat, bercerita hal politik sesama kami yang tidak bersekolah, tersasul juga menyebut. Sejak kebelakangan ini banyak sangat duka orang Melayu tercetus. Misalnya, cakap menteri boleh berbalik-balik. Nak bagi 40 peratus kepentingan kepada bangsa asing. Kononnya, hanyalah cadangan. Banyak orang tersilap faham. Begitu juga soal lesen judi bola. Selepas beriya-iya Vincent Tan menangkis serangan orang yang bantai fasal hal judi itu, aleh-aleh dengar kata lesen judi belum lulus. Tapi begitukah cerita sebenarnya?

Mat Rongak tiba-tiba gatal mulut menyeringai dan mengeluarkan carut politiknya. "Kau orang tahu tak? Kenapa Singapura jadi negara maju? Kenapa Pulau Pinang maju lebih dari Perak atau Johor?"

Aku dan wak Tungau menyengih cuba mencari jawapan. Tapi macam biasalah. Manalah orang tak sekolah macam kami tahu mencari jawapan kepada soalan itu. Mat Rongak pun hampir angin satu badan seperti berasa cakap-cakapnya tak ingin dilayan.

"Kau orang bangang ke?" jerkah Mat Rongak. Air liurnya tersembur. "Soalan mudah pun tak boleh nak jawab! Sebab Singapura ditadbir bangsa asing. Sebab Pulau Pinang ditadbir bangsa asing! Orang Melayu ni sengal!"

Dan tak sampai seminit, kekeh kami macam kokang terpijak kulit buah temponek. Berdecit-decit, lalu mat Rongak menyambung lagi. "Semalam aku baca dalam Harian Metro, Datuk Muhamad Ali, bos KPJ tu cakap mahu lihat lebih ramai peniaga Melayu jadi macam Robert Kuok dan Ananda Krishnan!"

Aku dan wak Tungau pun apa lagi. Tekan perut ketawa terbahak-bahak. Mat Rongak cerita pasal ekonomi daaa! Ketawa lagi dan tekan perut lagi. Sampailah Mat Rongak merayu tolong jangan ketawakan dia sebab dia mahu lepas gian mahu bercakap macam pakar ekonomi Melayu yang banyak sangat cakap dalam media di negara ini.

Kasihankan Mat Rongak, aku dan wak Tungau ampunkan sahaja keterlanjurannya mahu melepas gian. Kami pun beri lampu hijau. Cakaplah Mat Rongak! Cakaplah apa sahaja asal jangan cakap dia bawa kami masuk sekali ke dalam ISA!

"Robert Kuok tu orang kata raja gula. Malaysia pula, kalau tanam tebu boleh hasil gula sendiri, boleh eksport, boleh wujudkan peluang kerja, boleh buat orang Melayu miskin jadi kaya. Tapi gula dengar khabar ada sistem jualannya. Kena permit eh? Jadi masalah gula macam segenggam garam, tabur pada luka orang Melayu sendiri."

"Ananda Krsihnan tu pula aku tak dengar pula gelarannya. Tapi aku ada baca sikit-sikit dalam tulisan AKadirJasin dulu!"

Cepat-cepat aku buka mulut, lopongkan seluas-luas. Dasyat juga Mat Rongak, fikirku. Kalau tulisan AKadirJasin dia baca, kami apa lagi. Tentulah tertinggal kebelakang.

"Apa KadiaQ tulis?" aku umpan nak tahu.

"Aku tak nak sebut apa AKadirJasin tulis dalam suratkhabar dulu. Cuma aku nak bagitau, aku ada baca tulisan orang yang bagitau peniaga bangsa asing macam Ananda Krishnan berjaya kerana turut terima bantuan kerajaan. Bukan semata-mata kerana usaha sendiri. Dasar kerajaan turut membantu mereka. Mereka dapat tongkat juga!"

"Habis engkau cemburu ke?" aku tanya.
"Tak!" Mat Rongak jawab.
"Habis tu?"
"Aku kasihan melihat duka orang Melayu di negara ini!"
"OK. kau sambunglah berucap," aku melopongkan mulut.
"Dah lebih 50 tahun merdeka, kita macam tak maju-maju. Ada cakap nak muflis, tapi PM kata tak jadi. Singapura, maju selepas keluar dari Malaysia. Rakyat dia sikit, negara tak ada komoditi macam getah, kelapa sawit dan gula, tapi urusan gula, tepung dan minyak masak mesti melalui negara mereka.
"Itu belum kira sayur, buah dan apa macam makanan yang dunia tengok macam Singapura yang keluarkan. Aku sedih!"

"Sebab apa?"
"Sebab negara kita subur. 50 tahun diberi masa untuk tadbir janganlah sombong sebab dah buat kereta. Itu pun ada kereta yang mini macam Alphard. Engkau tahu kereta apa? Kereta Juara! Tapi Singapura maju gila babi dari kita. Orang kata, kenapa jadi macam itu. Apakah masa 50 tahun belum cukup untuk kita cemerlang. Atau orang Melayu ni memang pemalas? Atau pemimpin Melayu belum jumpa kaedah atau formula macam mana nak majukan negara?"

"Oppss...jangan lebih-lebih Mat. Cakap kau tu dah macam terbabas!" aku mengingatkan. Mat Rongak pun tunduk lalu diam.

"Yalah...yalah...kang aku cakap lebih, kena tangkap. Minta maaflah. Tapi tujuan aku suci. Aku nak Malaysia maju. Aku nak Melayu maju. Tapi tengok cara akhir-akhir ini, boleh ke kita capai impian itu?" tanya Mat Rongak menitiskan air liurnya dua titik titik.

bersambung.......

Wednesday, June 9, 2010

ADA NAMPAK GERAKNYA

Alhamdulillah, selepas berita keluar di Berita Harian hari ini, nasib duka seorang anak Melayu berusia 21 tahun yang terseksa kerana hanya memiliki sijil kelahiran tanpa Mykad mula diberi perhatian.

Dua pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara Seremban, berkunjung ke rumah nenek remaja itu, Pesah Said di Port Dickson hari ini, memaklumkan supaya datang ke pejabat JPN Seremban Jumaat ini.

Jika ini dikatakan tindakan dari hati lapang dan fikiran matang, Allah akan memberkati mereka yang membantu merawat duka anak Melayu ini.

Kasihanilah dia dan kalau boleh letakkan diri kita di dalam setiap detik kesedihannya. Dia anak Malaysia sekurang-kurangnya memohon simpati agar haknya dikembalikan. Ya Allah, permudahkan urusan semua yang terlibat cuba membantu.

BANTULAH ORANG MELAYU

Orang Melayu banyak sangat masalah sekarang ini. Bantulah mereka, terutama dalam bidang ekonomi. Mereka hanya akan berjaya jika dibantu kerana termaktub dalam fasal 153 perlembagaan, hak keistimewaan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan pelajaran khususnya adalah terjamin.

Jangan biarkan Melayu merempat hanya kerana mereka tidak suka memprotes. Jangan menunggu sehingga mereka bersuara. Ketika kita membantu bangsa lain, jangan lupa bangsa Melayu. Ada hanya berpendapatan RM600 sebulan, sedangkan itu jauh lebih rendah daripada taraf seseorang dikatogerikan sebagai miskin.

Mahu dibiarkankah mereka? Atau kita mahu menunggu mereka membawa tempurung memanjat tangga ke tangga meminta belas kasihan.

Bangkitlah pusat Zakat, JKM dan wakil rakyat yang diberi undi dengan harap untuk membantu Melayu ini. Jangan beri alasan konon tidak tahu. Itu menunjukkan anda tidak membuat kerja atau turun ke padang. Menjadi orang diberi kuasa bermakna anda kena mempertajamkan telinga, melebarkan lagi bukaan kelopak mata dan melajukan langkah menyusur kawasan anda.

Jangan ditanyakan adakah orang Melayu susah? Siapa? Kat mana? Susah macam mana? Kenapa tak jumpa kita? Kalau macam itulah, tunggu pilihanraya akan datang!

Duka orang Melayu mesti dirawat secara berhemah. Dukacita kadangkala membuat orang Melayu sanggup berpatah arang.

Tuesday, June 8, 2010

DUKA MELAYU LAGI

Ini duka Melayu lagi. Seorang lelaki berusia pertengahan 30-an, saya panggil Mr X telah berkahwin, mempunyai beberapa anak. Lulus SPM agak cemerlang juga. Zaman keputusan SPM guna gred. Dia dapat gred satu. Kalau zaman dia dulu, senang-senang masuk universiti. Sebahagian besar rakan-rakan zaman persekolahannya dulu yang kurang cemerlang pun layak ke ITM (UiTM). Tapi dia anak keluarga miskin. Kais pagi makan pagi. Tapi ada duka dibawanya sejak dulu, kenapa dia belajar hanya setakat itu.

Tamat SPM, dia pun mohon kerja. Lepas susah payah jadi kuli kontrak, tukang angkat bakul sayur di pasar, dapatlah pula kerja kilang. Dia tekun dan kini alhamdulillah dia pasrah dengan kehidupannya.

Tak siapapun cuba masuk ke dalam hatinya memahami sebuah duka orang Melayu. Saya menitiskan air mata. Ayahnya seorang Melayu warganegara, ada kad pengenalan. Ayahnya berkahwin dengan wanita Indonesia. Dan di situlah duka bermula. Mr X dilahirkan di Negeri Sembilan. Oleh kerana ibunya tidak mempunyai dokumen dan atas kebodohan ayah barangkali, berlakulah kesilapan. Mr X dikatakan lahir di negara seberang.

Kemudian berlangsung kehidupan. Mr X pun memohon kad pengenalan merah (pemastautin tetap). Kerajaan luluskan dan sehingga kini dia hanya memiliki kad pengenalan pemastautin tetap.

Berpuluh tahun dia mencuba mendapatkan haknya untuk memohon Mykad tapi gagal. Banyak orang politik janji membantu, tapi terima kasih sajalah sebab semuanya mungkin tak ikhlas, sampai sekarang tak berjaya.

Saya lihat merit kenapa dia boleh mendapat kad pengenalan atau MYkad adalah kerana dia dilahirkan di negara ini. Cuma kesilapan komunikasi menyebabkan daftar kelahirannya bercanggah. Ayahnya masih ada di negara ini. Ayahnya warganegara. Secara logik tentulah anak juga dapat kewarganegaraan. Malah, semua lima adik-beradiknya yang lain juga memiliki Mykad. Kenapa tidak dibuka Allah hati orang yang melihat permohonan Mr X ini supaya berfikir dengan lapang. Sememangnya atas nama Allah, saya percaya dan tahu dia lahir di negara ini. Semua keluarga dan waris terdekat, termasuk ayah, bapa saudara, datuk, nenek dan jiran sekampung masih hidup (bidan yang menyambut kelahirannnya dulu telah meninggal dunia).

Kenapakah duka-duka begini masih disajikan kepada yang empunya hak. Kenapa duka orang Melayu ini tidak dipujuk dengan segera oleh pertama, kerajaan. Kedua Umno. Ketiga, pemimpin Melayu.

Duka Melayu berterusan dan selagi saya hidup, saya akan tuliskan satu persatu setiap hari duka-duka yang saya kutip ini. Sekurang-kurangnya saya mengongsi duka ini dengan kesedaran betapa sulitnya Melayu dan jadi Melayu. Biar saya mati bersama duka orang-orang Melayu.

SATU LAGI DUKA MELAYU

Satu lagi duka orang Melayu. Gara-gara tidak berpuas hati, seorang pesakit yang mendapat rawatan komplimentari dari seorang pengamal perubatan Melayu di Kota Kemuning, Shah Alam membuat sidang akhbar bersama pemimpin parti sebuah politik bukan Melayu.

Maka, aduan dan ketidakpuasan hatinya pun disiarkan dalam beberapa akhbar Cina dan berbahasa inggeris, kononnya dia berasa tertipu dengan rawatan yang dijalaninya walaupun dikatakan telah membayar sekitar RM4,000. Pengadu bukan orang Melayu dikatakan mengidap penyakit kronik tahap 4 dan telah pun menjalani rawatan di hospital sebelum ini.

Namun kerana ingin mencuba, dia beralih selera dengan harapan penyakitnya dapat dirawat dan sembuh. Pertamanya, dia datang ke pusat rawatan itu dengan keizinan hatinya sendiri. Tiada paksaan sebenarnya bagi sesiapa untuk mendapatkan rawatan komplimentari itu. Kalau mahu diikutkan, pengamal perubatan tradisional itu bukan baru dalam bidangnya dan pernah merawat pesakit termasuk dari Indonesia, Brunei dan Singapura.

Malah, bukan cerita bohong bahawa sebahagian pesakit yang datang ke situ telah sembuh, walaupun realitinya sebelum itu doktor perubatan moden telah gagal merawat penyakit yang mereka hidapi.

Bayaran yang dikenakan pula lebih murah daripada bayaran dikenakan oleh hospital swasta. Bukan rahsia juga, ada pesakit datang seawal jam 4 pagi menunggu untuk mendapatkan rawatan manakala yang lain turut memperkenalkan rawatan komplimentari itu kepada rakan-rakan dan sanak saudara selepas terbukti sembuh penyakit mereka. Ini isyarat menunjukkan keyakinan mereka amat tinggi terhadap keupayaan pengamal perubatan itu.

Namun dalam hal pesakit yang tidak berpuas hati tadi, dia membuat aduan kerana penyakitnya tidak sembuh selepas dia kembali semula ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Ya, keadaan ini boleh berlaku. Dalam apa kerja sekalipun tidak ada kesempurnaan. Hospital sendiri tidak menjamin 100 peratus pesakitnya dapat dirawat dan sembuh. Kalau boleh sembuh semuanya, tidak adalah yang datang berjumpa pengamal tradisional itu termasuk beberapa kes yang datang dengan menggunakan khidmat ambulans kerana terlalu tenat dan nazak.

Demikian satu lagi duka orang Melayu. Kejayaannya, cuba dicemar oleh rasa kecewa segelintir pesakitnya. Bayangkan kalaulah pesakit itu berjaya sembuh dari sakit kronik tahap 4 yang dihidapinya itu. Adakah dia akan memanggil pemimpin parti bukan Melayu mengadakan sidang akhbar untuk menghebahkan kecemerlangan seorang pengamal perubatan komplimentari Melayu? Belum tentu dan hampir mencecah darjah tidak mungkin!

Namun kepada pengamal perubatan tradisional itu saya berharap, teruskan khidmat anda walaupun akan ada pemeriksaan dari mana-mana agensi kerajaan. Buktikan anda di pihak yang benar. Barangkali menyusun semula organisasi rawatan anda dengan memiliki pegawai perhubungan awam dan seorang peguam syarikat akan melancarkan lagi khidmat yang diberi. Dalam hal ini, profesionalisme amat penting.

Semoga duka ini tidak berterusan. Hal yang baik bak intan, terbenam jauh sekalipun ke dasar lautan, sinarnya tetap nampak. Bagai benih yang baik juga. Tercampak ke laut menjadi pulau, terdampar di gurun menjadi danau.

Monday, June 7, 2010

TAHNIAH BRIG JEN ISMET NAYAN ISMAIL

Tahniah kepada Brig Jeneral Ismet Nayan Ismail di atas pengurniaan pingat Johan Setia Mahkota (JSM) oleh Yang DiPertuan Agong sempena sambutan keputeraan rasmi baginda semalam.

Moga dengan pengurniaan ini melonjakkan semangat dan menyuntik kekuatan baru untuk berdiri sebagai Panglima Briged 10 Para, Kem Terendak Melaka.

Anda sebahagian daripada putera 78-80 yang cemerlang. Terima kasih juga di atas kesudian menziarahi saya ketika diuji Tuhan baru-baru ini.

Salam maju jaya.

JANGAN JADI PENUNGGU.

Untuk menjadi wartawan, anda harus mencari berita. Bukan menunggu berita. Jika anda jadi si penunggu berita, berita yang anda siarkan adalah berita-berita bersifat hantu nilainya. Ini sebahagian daripada pandangan saya terhadap dunia kewartawanan.

Dalam keadaan dunia semakin rencam dan kehidupan bertambah kompleks, pembaca menunggu berita yang tidak pernah terfikir di akal, tak terjangkau dek fikiran. Tetapi ini tidak bermakna cerita bersifat fantasi yang mereka mahu. Mereka mahu anda menyiasat dan menyajikan berita yang orang belum pernah tahu atau terhidu mengenainya!

Jangan terikut-ikut anekdot anjing gigit orang bukan berita, tapi orang gigit anjing baru berita. Kini, anjing dan orang sama-sama gigit dan berkongsi makanan lebih baik nilainya.

Fikir-fikirkan.

NASIB ORANG MELAYU MEMANG MACAM INI

Pagi ini menguruskan satu kes remaja perempuan berusia 21 tahun yang ada sijil kelahiran tapi sekarang tiada kad pengenalan. Bukan kerana apa, hanya kerana ayah dan ibunya telah menghilangkan diri di negara jiran.

Usaha telah dilakukan untuk memohon MyKad menerusi nenek dan ibu saudara remaja itu (adik ayahnya) namun Jabatan Pendaftaran mahukan sijil nikah bapanya. Kalau boleh mahu bapanya datang, sedangkan hal itu adalah sesuatu yang sukar dan hampir mencecah darjah mustahil.

Peliknya, sijil kelahiran remaja ini tertera jelas ayahnya seorang warganegara Malaysia, mempunyai kad pengenalan, dan dia pula dilahirkan di Hospital Daerah Port Dickson. Laporan kelahirannya pula dilaporkan oleh datuknya, yang juga warganegara Malaysia.

Cuma menjadi masalah sebelum ini ialah, walaupun bapanya warganegara, ibunya seorang rakyat asing dan bila perkahwinan berlaku, hal membabitkan soal teknikal mengenai butiran dalam sijil kelahiran pun berlaku. Anak dituliskan sebagai tidak diketahui taraf warganegaranya.
Maka membesarlah anak tanpa sekolah dijaga oleh neneknya. Bila mendapat peluang bekerja, soal kad pengenalan menjadi halangan. Dia sukar memohon kerja, sukar membuka buku akaun bank dan paling sukar ialah kerap terkeliru apabila ditahan pihak berkuasa.

Masalah ini mungkin boleh dipandang sekali imbas sahaja oleh pelbagai pihak, namun saya melihat ia adalah soal hak dan tanggungjawab. Andai telah jelas ada sijil kelahirannya di negara ini, jelaslah dia seorang warganegara. Apakah untuk memohon Mykad mesti dengan kehadiran sijil nikah dan tubuh badan bapanya, sedang nenek remaja itu sedia memohon bagi pihaknya. Bukankah nenek atau ibu saudaranya waris remaja itu? Malah, dalam sijil kelahiran juga tertera nama datuknya, siap dengan warganegara dan nombor kad pengenalan.

Soalan saya kenapa susah sangat sehingga menyeksa kehidupan seorang remaja. Kenapa susah sangat sedangkan ada kes membabitkan warga asing yang tidak lahir di negara ini sedang bersenang-lenang di negara ini selepas memperolehi taraf pemastautin tetap atau lebih seronok lagi diluluskan permohonannya mendapatkan Mykad.

Ini adalah sebahagian daripada duka orang Melayu yang sering saya tuliskan. Duka orang Melayu tak siapa pun tahu. Orang hanya tahu menyalahkan orang Melayu apabila orang Melayu mula bersifat protes dan membenci. Maafkan saya.

Sunday, June 6, 2010

DOKTOR MLM

Satu hal orang Melayu ni, kalau dah mula mabuk MLM naik pening tengok gelagat dia orang. Mulalah siang malam redah cari siapa-siapa sakit. Dengar saja ada orang sakit, terus tuju rumah orang tu. Konon, produk MLM lebih baik dari ubat.

Kasihan tengok, sebahagian anak Melayu yang dilambung-lambung emosi mereka oleh pemilik syarikat bangsa asing khususnya. Meredah hujan panas, tak kira siang dan malam. Bila dapat peluang jumpa orang sakit mulalah berkempen macam-macam.

Ada kempen kata, kalau tak makan produk dia, susah nak baik. Ada pula kata, produk dia semuanya herba. Sumpah, katanya tak ada dadah. Tapi pelik, bila tanya ada di antara yang jual produk tu SPM pun biologi tak ambil tapi cerita macam doktor pakar. Kata, produk MLM dia jual dah sembuhkan banyak orang.

Adalah pengalaman saya. Datang si mamat dan si minah ni. Sudahlah jam hampir 12 malam, saya layan juga. Adakah patut dia kata, saya ada tiga penyakit. Penyakit saraf, kencing manis dan tulang rapuh. Aduh!

Aduhh!! Saya tanya si mamat yang celupar. Macam mana dia tahu. Dia kata, tengok saja dia dah tahu. Aduhh!! Saya tanya lagi. Kalau macam itu, apa perlu saya buat. Dia cepat-cepat jawab. Abang makan produk ni, ambil selama 3 bulan. InsyaAllah katanya.

Aduhh!! saya bukan risaukan 3 penyakit yang dia bagitau itu tapi saya risau macam manalah kalau ada orang lain yang terpedaya dengan cakap-cakap 'doktor' MLM ni. Sebenarnya, saya tak ada pun kencing manis, tak ada pun tulang rapuh. Cuma adalah sikit-sikit sakit saraf. Itupun keluar dalam suratkhabar.

Saya mohon anak-anak Melayu, jangan terlalu emosi menjalankan perniagaan MLM. Ingat sama, apakah kita dipergunakan atau tidak. Ingat. Bangsa asing bijak memanipulasi emosi orang Melayu sehingga mereka dapat juta-juta orang Melayu dapat penat!

JADILAH AKHBAR YANG BETUL-BETUL AKHBAR

Akhbar harus menjalankan tugas menyalurkan maklumat lebih daripada tanggungjawab membela keburukan 'penanggung' kerana lambat-laun, keburukan yang ditutup akan terhidu juga bau busuknya. Dan ketika itu, masalah bersubahat akan bertambah menjadi masalah lain yang lebih tenat. Dikritik, dicerca dan ditunjal jari orang ke dahi kita.

Sebaiknya, walaupun pentadbir akhbar tidak mampu berdiri secara sempurna sepenuhnya ia wajar mencuba untuk menjadi seadil mungkin demi memenuhi tanggungjawab kepada pembaca. Tanggungjawab kepada majikan adalah bersifat komersil dan tanggungjawab kepada politik pula bersifat ikut-ikut. Namun yang paling penting adalah tanggungjawab kepada pembaca (termasuklah negara dan agama). Tanggungjawab ini bersifat wajib kerana merekalah sasaran yang harus menerima maklumat daripada akhbar. Maka, jika dalam menjalankan tugas menyalurkan maklumat ini, kita belot kerana adanya kekangan atau kepentingan tertentu, maka kita telah melakukan kesalahan.

Jangan jadikan matlamat menghalalkan cara sebagai topeng pada setiap perbuatan. Akibatnya nanti seperti barah. Datang perlahan, tapi pergi begitu pantas membawa tuan punya diri.

Beranilah berkata tidak dan bersungguhlah berkata ya. Jangan jadikan akhbar kita sebagai majalah sekolah atau lembaran-lembaran iklan yang memuji produk sendiri semata-mata untuk keuntungan.

Mustahil kita tidak melihat apa kesilapan kita. Tapi jika benar tidak mengerti kesalahan kita benarlah kata pepatah. Maka, elok kita membeli cermin dan bercermin melihat wajah kita yang selalu sangat berkata aku betul ketika menjalankan tugas ini.

LESEN MEMANDU

DAPATKAN LESEN MEMANDU. BERKALIBER DAN MEMUDAHKAN DI SEKITAR SHAH ALAM SAHAJA.

HUBUNGI EN ZAIDI :014 6341444

Saturday, June 5, 2010

PESANAN UNTUK SEMUA

Kalau dalam kilang plastik, dalam gudang kitar semula atau dalam syarikat baik pulih hawa dingin pun ada politik apatah lagi dalam sebuah syarikat yang besar. Syarikat yang tersenarai di bursa saham. Yang mahu naik ke atas, sanggup memijak apa sahaja hatta kepala kawan sendiri agar impian untuk berada di atas akan tercapai.

Demikian sifat manusia yang tak akan berubah sampai bila-bila. Kadang-kala demi mencapai impian itu, tohmahan dan fitnah menjadi sarapan enak di kalangan mereka. Paling penting mereka dapat apa yang mereka mahukan. Cara bagaimana memperolehi impian itu tidak penting.

Maka tidak hairanlah, ada kawan kehilangan kawan walaupun hakikatnya mereka adalah kawan akrab sebelum ini. Hanya kerana salah seorang daripada mereka mempunyai impian terlalu tinggi, hubungan mereka terputus begitu sahaja. Tragisnya, hubungan itu terputus kerana salah seorang daripada mereka menggunakan politik fitnah dan pijak kawan untuk mencapai impiannya.

Namun, apalah makna kejayaan yang dicapai jika yang diperolehi itu sebenarnya dipintal dan diperah dari keringat, air mata dan dukacita kawan sendiri.

Semoga kita belajar daripada pengalaman ini.

Friday, June 4, 2010

LEPAS 50 TAHUN, HASILNYA MUFLIS?

Kita mahu katakan apa kalau kerajaan sendiri mengakui negara akan muflis menjelang 2019 hanya kerana subsidi tidak dihentikan. Mahu apa dikatakan kepada sebuah kerajaan yang telah memerintah lebih 50 tahun, tapi tempoh yang sebegitu lama hanya untuk memastikan negara muflis?

Hilang keyakinan saya kalau beginilah caranya sebuah pemerintahan, menguasai dan mentadbir sebuah negara yang kaya hasil komoditinya, tapi gagal meletakkan ekonomi negara ke puncak sebaliknya terpaksa mengakui sebuah kegagalan.

Ini bukan fitnah politik. Kenyataan negara akan muflis muntah dari mulut dan menjulur keluar dari lidah seorang menteri. Bukan satu tohmahan kalau diandaikan bahawa membawa sebuah negara ke ambang kebankrapan merupakan satu perbuatan orang yang gagal mentadbir.

Sedih, hiba, walang dan lumat hati mendengar bahawa negara akan muflis. Tersentak dan ralat rasanya bila kekayaan komoditi mesti disubsidi dan kemudian subsidi itu pula dijadikan alasan kegagalan ekonomi.

Sebenarnya kita mesti berani berubah. Berani berubah cara kerja dan mengubah sikap kita ke arah mentadbir ekonomi secara betul.

Masih ingat kahak hijau wak mat ketika meludah saya bila saya katakan negara kita muflis sebab subsidi. Sebab beri subsidi kepada gula dan minyak masak akhirnya negara menanggung hutang. Macam torpedo kahak hijau dan sesekali bercampur kuning menerjah sisi kiri dan kanan tubuh saya. Marah benar wak mat.

"Engkau ni bodoh ke bangang?" dia bertempik. "Mana nak masuk akal, gula mahal, minyak mahal lepas tu kerajaan kena bagi subsidi pula? Bodoh ke bingai engkau ni?" soalnya sambil biji matanya membola merah.

Wak mat hanya sekolah tahap darjah tiga. Dia tak akan percaya, sebab tebu boleh campak seminggu belakang rumah tumbuh tunasnya. Kelapa sawit buat minyak masak itu pun katanya macam hutan simpan ditanam di negara ini.

"Sepatutnya, gula paling tinggi pun 50 sen sekilo. Minyak masak pun sama. Sebab kita boleh hasilkan gula dan minyak masak. Kenapa kita nak beli dari luar? Yang aku geram dan geli hati sampai terkencing-kencing ialah kenapa pulak kerajaan kena keluar subsidi?" dia menyoal melepaskan geram.

"Ini mungkin ada kaitan sistem ekonomi, sistem AP gula misalnya wak?" saya menjawab secara bodoh dan secara bangang jugalah dijawab oleh wak mat.

"Orang gila pun kalau macam ini tak boleh rugi. Kita ada banyak duit misalnya. Kita bagi pada anak-anak kita. Lepas tu kita cakap orang kampung, kita dah nak bankrap berhutang sebab bagi duit pada anak-anak sedangkan duit itu bukan kita hutang dari bank. Duit itu kita kumpul bertahun-tahun.

"Aku malulah kalau kata bankrap sebab subsidi. Macam perumpamaan, tak ada beban, batu digalas. Tak masuk akal. Yang kaya orang macam Robert Kuok. Siap bagi gelaran raja gula lagi!" wak mat malas berbalah lagi dan mengatur langkahnya pergi. Tapi sebelum itu dia sempat berpaling.

"Kalau kau cakap lagi negara kita muflis pasal kena bagi subsidi gula dan minyak masak, aku cangkul kepala engkau!" dan serentak itu memancut lagi kahak hijau bercampur kuning. Kali ini kena tepat ke dahi saya.

Mahu saya apakan orang tua itu. Saya tanggalkan baju dan lapkan kahak masin wak mat. Sumpah saya tak mahu berbalah dengan wak mat sebab kahak dia laju bak torpedo. Tapi tak boleh saya salahkan dia, sebab wak mat tak habis sekolah. Sedangkan orang sekolah tinggi pun tak boleh uruskan ekonomi. opppss.

SEKADAR NASIHAT

Ada sahabat jauhkan diri gara-gara tidak sealiran ideologi dan fahaman politik. Saya katakan bodoh buat tindakan itu, dan lebih bodoh apabila memburukkan kawan hanya kerana geram mempunyai kawan yang tidak sealiran perjuangan politiknya.

Saya faham betapa ceteknya kefahaman mereka tentang makna sahabat. Memburukkan kawan sehingga kawan terasa buruk pada kaca mata kawan-kawan yang lain satu perbuatan yang terlalu buruk bagi mereka yang terpelajar.

Nasihat saya pada orang politik dan penyokong parti jangan buat benda yang buruk itu.

KONSISTENSI PENTING BEB

Seorang menteri kata Malaysia akan bankrap menjelang 2019 jika subsidi tidak ditarik balik atau dikurangkan. Mungkin Malaysia akan jadi seperti Greece katanya, yang muflis akibat fenomena yang hampir serupa.

Namun seorang pakar ekonomi kemudian menulis, Malaysia tidak sama seperti Greece kerana Greece 'menipu' fasal kedudukan kewangan untuk duduk sama rendah dalam sistem kewangan Euro.

Kemudian, ada lagi pakar ekonomi setuju Malaysia akan bankrap dan berdepan masalah jika subsidi tidak ditarik segera.

Kemudian, pakar ekonomi yang lain mencelah Malaysia tak mungkin muflis hanya kerana subsidi sebaliknya banyak faktor lain seperti ketirisan dan projek-projek yang melebihi harga atau kos yang menyumbang ke arah bencana itu.

Peliknya semalam, seorang timbalan menteri berkata, Malaysia mustahil akan bankrap walaupun subsidi tidak ditarik balik.

Aduh! Konsistensi dalam ucapan, kenyataan dan keputusan mulai dipertikaikan orang. Hal ini bukan kecil impaknya kerana ia melibatkan isu masa depan negara dan rakyat. Rakyat yang sedia gelisah boleh jadi marah kerana disogok dengan kenyataan yang goyang. Di mana kesilapan kita sebenarnya? Adakah bercakap tanpa fakta atau bercakap di luar fakta atau cakap-cakap kita adalah sesuatu yang dimuatkan di mulut orang lain.

Belum lupa tidak lama dulu. Beberapa undang-undang diluluskan di parlimen antaranya denda melibatkan RM1,000 untuk kesalahan jalan raya tertentu. Sehari dua, kelulusan itu ditarik balik walaupun realitinya ia sudah tentu diluluskan kerana mendapat majoriti wakil kerajaan yang memerintah.

Saya menegur hal-hal tidak konsisten membabitkan kenyataan atau ucapan kepada awam ini kerana ia menggambarkan sesuatu yang tidak konsisten juga dalam cara membuat sesuatu keputusan terutama membabitkan rakyat.

Orang dulu-dulu berkata, fikir dulu sebelum buat. Lebih kurang sama dengan fikir dulu sebelum buang. Isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat bukan demikian cara untuk diuar-uarkan.

Kita seolah-olah memberi senjata dan peluru kepada orang lain untuk menembak dan janganlah pula salahkan orang lain kalau kita sama seperti dikatakan perumpamaan; "Senjata makan tuan". Minta dijauhkan musibah itu dan belajarlah dari kesilapan. Semakin banyak buat semakin banyak salah. Semakin banyak cakap semakin banyak dosa. Ingat pesanan orang tua-tua ini.

Thursday, June 3, 2010

ANAK MELAYU YANG GIGIH

Saya banyak bertemu anak muda Melayu yang gigih. Berniaga dari subuh hingga ke Magrib. Bertahun-tahun menempuh susah payah, tetapi tak pernah kecewa, ralat atau berputus asa.
Mereka tak pernah dikenali oleh pemimpin negara kita, tetapi kegigihan anak-anak muda ini wajar diberi perhatian, sokongan dan bantuan.


Mereka mewakili generasi yang menafikan bahawa Melayu itu pemalas. Melayu bukan pemalas, tapi kegigihan mereka jarang dberi perhatian.

Salah seorang ialah usahawan yang juga pengajar memandu yang terbabit dalam perniagaan perkhidmatan lesen memandu dan urusan-urusan berkaitan. Namanya Zaidi Samsuri. Awal 30-an, dan telah menjadi pengajar memandu lebih 10 tahun di sekitar Shah Alam.

Hubungi En Zaidi 014-6341444 untuk urusan lesen memandu. Beliau pengajar berkaliber yang bertauliah. Anak Melayu muda wajar mencontohi kegigiha Zaidi ini.

TIPS FOR YOUNG DRIVERS

To all young drivers especially girls who just passed your road test by RTD.

"E" means enough fuel for your car to find the nearest pump station. So, do not panic because your fuel tank actually is not empty. "E" does not stand for empty as always taught by your driving instructors.

Do you know why? This is because if your car is without fuel or your fuel tank is empty, it's engine will stop immediately. My advice is, do not panic. Drive to the nearest pump station steadily. Panic can cause accident.

PEMIMPIN JANGAN JADI BUDAK

Saya tak akan melayan Murugiah kerana dia seorang perosak atau pembelot parti. Demikian kata si D'Cruz yang baru sahaja dilantik sebagai salah seorang timbalan menteri.

Umum faham apa maksud kata-kata D'Cruz yang dikatakan antara pemimpin veteran dalam parti PPP itu. Murugiah yang dimaksudkan tentu sahaja seorang lagi timbalan menteri yang asalnya ketua pemuda PPP tapi dipecat oleh parti berkenaan.

Apa benar atau betul Murugiah itu pembelot atau orang yang merosakkan PPP? Itu tak perlu dijawab kerana ia urusan dalam parti berkenaan. Yang perlu kita jawab dan kita tegur adalah sikap D'Cruz yang seolah-olah mahu bermusuhan dalam barisan kepemimpinan kerajaan yang ada.

D'Cruz kena sedar, faham dan melihat diri sendiri terlebih dulu. Murugiah telah nampak buktinya bekerja untuk kerajaan, sedangkan dia baru sahaja dilantik. Jangan bawa masalah anda ke dalam pentadbiran kerajaan. Masalah anda atau PPP dengan Murugiah soal lain. Soal bekerja untuk kerajaan sebagai timbalan menteri pula hal yang berbeza. Adakah anda akan membiarkan tiada komunikasi anda dengan Murugiah kalau ditakdirkan ada tugas memerlukan anda bekerjasama dengan beliau?

Pemimpin tidak harus menjadi budak kerana pemimpin yang asalnya budak sebelum menjadi dewasa mesti menunjukkan teladan yang baik kepada budak! Budak yang dipimpin akan melihat pemimpin kebudak-budakkan sebagai pemimpin yang tidak boleh memimpin dengan hati telus dan ikhlas.

Perdana Menteri mesti mencatatkan pengakuan luar biasa D'Cruz yang dipetik akhbar ini sebagai satu benda yang tidak boleh dibiarkan. Ketika kerajaan sedang memacu pentadbiran ke depan, jangan ada pemimpin lain bersikap berjalan ke belakang. Soal peribadi atau dalaman parti soal lain.

D'Cruz nampaknya kena perlu banyak belajar untuk menjadi seorang pemimpin. Pertama betulkan cara berfikir dan tanggapan. Selamat menempuh alam baru, demi untuk negara. Demi untuk negara dan bukannya untuk yang lain-lain.

Wednesday, June 2, 2010

PESANAN BERHARGA

BELUM lupa saya antara kata-kata yang pernah diucapkan oleh Tun Fatimah (allahyarhamah), bekas menteri wanita pertama ketika saya menemuinya di rumah beliau di Bangsar pertengahan 90-an. Bukan sekadar kata-kata, tetapi mempunyai nasihat yang bermakna dan saya percaya ianya datang dari dalam atmanya.

Pesannya kepada saya. Orang Melayu kena setia kepada pemimpin dan berajak baik demi perpaduan dan masa depan yang lebih cemerlang. Perpecahan di kalangan orang Melayu hanya merugikan. Beliau memberitahu, perjuangan Umno masa lalu amat getir, tetapi semuanya demi memperjuangan martabat bangsa, agama dan negara. Beliau tidak pernah kesal dan kecewa kerana Umno.

Ingatan saya juga masih kekal pada pesan terakhir dalam pertemuan terakhir saya dengan Tan Sri A Samad Ismail, pada tahun 2000. Katanya, selagi orang Melayu kurang membaca dan tak ingin membaca, selagi itulah mereka akan ketinggalan. Tambahnya, membaca itu umpama jendela minda. Lagi banyak kita membaca, lagi luas jendela terbuka dan lagi banyak pengetahuan masuk ke dalam minda kita.

Pesan Tun Ghafar yang masih saya ingat ketika beliau menyampaikan hadiah kewartawanan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada tahun 1992 pula, lebih sayu dan menghibakan saya. Antara pesannya dalam ucapan dihadiri wakil media malam itu ialah, "kadang-kadang saya mahu menjadi seorang editor akhbar dan biarlah jawatan saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno diambilalih oleh editor akhbar pula". Ketika itu sedang hangat berlangsung kempen, di mana Anwar Ibrahim menentang beliau untuk jawatan Timbalan Presiden Umno. Tidak berapa lama, Tun Ghafar mengumumkan beliau menarik diri daripada pertandingan dan menanglah Anwar!

Satu lagi pesan yang sangat menyentuh hati saya ialah dari mulut Pak Husin, bapa kepada Juraimi yang telah dihukum mati bersama Mona Fandey dan Afendi selepas mahkamah mendapati mereka bersalah membunuh bekas Adun, Datuk Mazlan. Kata pak Husin kepada saya, "hidup mesti diteruskan. Siapa yang tidak sayangkan anak. Bila berdepan keadaan ini, mesti ingatkan Allah. Biar Allah menentukan segala-galanya. Saya orang susah dan mahu melawatnya di penjara pun terasa sukar". Namun tiada setitis air mata pun mengalir turun menyusur pipinya yang cengkung ketika itu. Dia lelaki dan ayah yang tabah.

Saya titipkan pesanan-pesanan ini untuk renungan. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Manusia diberikan akal. Gunakan ia sebaik mungkin.

HAMID ISA. "DUA-DUA HAMID SAMA"

Selepas kolonel Amirudin, pada sebelah petang, Leftenan Kolonel Hamid Isa pula menghantar sms kepada saya. Beliau bertanyakan khabar saya. Katanya dia kini bertugas di Kluang dan meminta maaf kerana belum sempat menziarahi saya.

Hamid Isa, asal dari Linggi, sama-sama satu kelas di RMC. Sama-sama nakal dan ramai di antara kawan kami tak tahu yang saya dan Hamid Isa ketika sekolah rendah pernah mewakili sekolah masing-masing bertanding dalam musabaqah al-Quran peringkat daerah Port Dickson. Dia dari kompeni B, saya pula dari kompeni E.

Terima kasih sahabat. Dalam kehidupan ini, banyak yang perlu kita lalui. Kadang-kala laluan yang kita rentas amat berbeza dan ia memisahkan kita sedemikian lama. Namun kehidupan kita juga mengekalkan satu-satunya yang berharga dalam diri kita. Kenangan! Selama mana pun terpisah, kenangan pasti menggamit kita. Manis atau pahit kenangan itu, bukan persoalannya.

Begitu juga tentang persahabatan. RMC mengajar kami tentang persahabatan. Harganya dan maknanya.

Dalam kehidupan ini, kita diajar untuk menjadi sesuatu. Maknanya menjadi benih yang baik. Tercampak ke laut menjadi pulau, tercampak ke gurun menjadi danau.

NOSTALGIA PUTERA 78

Kolonel Amirudin Datuk Sulaiman, menghubungi saya menerusi SMS bertanyakan khabar. Beliau adalah rakan lama saya yang telah tidak ketemu lebih 30 tahun. Kini beliau di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Beliau antara ratusan sahabat yang amat prhatin kepada nasib kawan-kawan lama dan sering ringan tangan dan lapang hati, memberi sokongan moral dan material ketika saya didepani ujian Allah.

Selain kolonel Amir, rakan-rakan bekas putera pengambilan 78 yang telah berjaya ialah Mejar Jeneral Datuk Aqbal Samad- Panglima Logistik Udara TUDM, Brigadier Jeneral Ismet Nayan Ismail - Panglima 10 Briged Para, Brigadier Jeneral Zambrose Mat Zain - Panglima Briged Mekanise, Kolonel Hasan Ali - Pengarah Grup Gerak Khas (GGK), Komander Rosli Kamarudin (Navy), Kolonel Sobri (TUDM), Kolonel Soo Kee Sing (nama Islam terlupa) dan Datuk Dr Abdul Fahmi Karim - pakar perubatan Hospital Pantai.

Selain itu mereka yang telah memasuki sektor swasta atau bekerja sendiri adalah mejar (B) Fadzil Abdullah @Choong Voon Leong - pemilik syarikat pengiklanan, kapt (B) Nasir Abdullah - pemilik syarikat kawalan keselamatan, Mejar (B) Shariff Rahmat, Kapt (B) Anuar Abdul Rahim, Mejar (B) Aminudin - pemilik syarikat keselamatan dan Nurazam Zakaria (RHB).

Lebih 180 bekas putera 1978 Maktab Tentera DiRaja kini bertebaran di seluruh negara. Namun ada di antara mereka yang telah kembali ke rahmatullah. Sebahagian besarnya amat cemerlang. Namun demikianlah kehidupan - penuh warna-warni. Namun, kenangan menangis bersama dan saling membantu di kala kita di zaman putera itu tidak mungkin hilang dari ingatan.

InsyaAllah sebuah buku mengenai kecemerlangan bekas putera 78 ini akan terbit pada suatu hari nanti. Kepada sahabat-sahabat yang sering bertanya khabar dan banyak membantu saya, doakan kesihatan saya kembali pulih sepenuhnya dan memberi ruang dan masa kepada saya untuk menghasilkan buku tentang nostalgia kita dan kecermerlangan anda.

Tuesday, June 1, 2010

DUKA UMAT ISLAM DAN PENCINTA KEAMANAN


Sebahagian daraipada duka rakyat Malaysia kini tertumpu kepada penculikan 12 rakyat kita oleh pasukan komando Israel ketika dalam perjalanan menaiki kapal bagi misi keamanan mengagihkan bantuan kemanusiaan di Gaza.

Mereka dipercayai sedang dipenjarakan oleh sebuah kerajaan yang tidak bertamadun, selepas ditahan tanpa alasan kukuh di sebuah kawasan di perairan antarabangsa. Demi keamanan, mari kita bersama berdoa agar kesemua rakyat kita yang ditahan dibebaskan segera.

Paling menyakitkan hati kita adalah penggunaan kekerasan oleh komando Israel ke atas mereka yang tidak bersenjata. Malah, 'polis antarabangsa' Amerika Syarikat seolah-olah tidak melakukan apa-apa untuk mengajar Israel, misalnya memaksa pembebasan segera smeua yang ditahan. Walaupun insiden tragis ini telah mengorbankan 19 mangsa dan mencederakan berpuluh yang lain ia seolah-olah akan berlalu begitu sahaja. Tanpa adanya tindakan ke atas negara 'barbarian' Israel. Hal ini tentunya amat menyedihkan.

Di manakah maruah negara-negara Islam terdekat, yang sepatutnya bertindak segera. Kutukan dan protes tidak akan dipedulikan Israel. Jadi, kalau ada cara lain yang boleh mengajar Israel, gunakanlah cara itu demi menyelamatkan mereka yang tidak berdosa.

LET'S PRAY FOR OUR FRIENDS

The Israeli government put in jail 12 Malaysians who are on their way to help Palestinian in Gaza. The fate all of the Malaysian is remains unknown. The whole world must condemn the uncivilise acts and ask for the immediate release. Lets pray for the safety of our friends.

The Israeli commandos have used force against unarmed peoples who are on their journey to help the Palestinian. This is very sad episode to the whole world who loves peace.

We also knew that 19 were killed after the 'barbarian' stormed into the ship ferrying hundreds of volunteers from all over the world to the land of Gaza.

What will Mr Barrack Obama do? What the superpower countries like Russia and China will do? Do they keep their mouth shut against the acts of unhumanitarian by the barbarian country called Israel toward unarmed peoples?

Please! Pray for the safety of our friends. Ask for immediate release.

JAHANAM ISRAEL

Jangan menangis atau hairan atau kesal. Israel dilahirkan dengan hati syaitan dan tidak pernah memahami apa itu kemanusiaan.

Dialah raja dan segala-galanya di dunia ini kerana manusia yang lain tidak pernah berkesempatan bersatu untuk menentang dan memberi pengajaran paling manis buat negara yang amat zalim dan kejam ini.

Manusia umat Islam telah kering air mata. Namun jangan hentikan perjuangan. Menentang kezaliman Israel adalah wajib demi mewujudkan keamanan sejagat. Dengan darah dan keringat, bersamalah kita mencari jalan agar syaitan yang tidak pernah berhenti menzalimi umat Islam ini dihancurkan.

Kepada keluarga mereka yang terbabit dalam misi keamanan ke Gaza, bersabarlah dan berdoalah. Kita telah faham demikian zalimnya regim Israel, membunuh dan memusnahkan mereka yang tidak berdosa. Mereka sememangnya dayus, membunuh orang yang tidak bersenjata.

Allah bersama doa-doa orang yang teraniaya.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10