nuffnang ads

Friday, June 4, 2010

LEPAS 50 TAHUN, HASILNYA MUFLIS?

Kita mahu katakan apa kalau kerajaan sendiri mengakui negara akan muflis menjelang 2019 hanya kerana subsidi tidak dihentikan. Mahu apa dikatakan kepada sebuah kerajaan yang telah memerintah lebih 50 tahun, tapi tempoh yang sebegitu lama hanya untuk memastikan negara muflis?

Hilang keyakinan saya kalau beginilah caranya sebuah pemerintahan, menguasai dan mentadbir sebuah negara yang kaya hasil komoditinya, tapi gagal meletakkan ekonomi negara ke puncak sebaliknya terpaksa mengakui sebuah kegagalan.

Ini bukan fitnah politik. Kenyataan negara akan muflis muntah dari mulut dan menjulur keluar dari lidah seorang menteri. Bukan satu tohmahan kalau diandaikan bahawa membawa sebuah negara ke ambang kebankrapan merupakan satu perbuatan orang yang gagal mentadbir.

Sedih, hiba, walang dan lumat hati mendengar bahawa negara akan muflis. Tersentak dan ralat rasanya bila kekayaan komoditi mesti disubsidi dan kemudian subsidi itu pula dijadikan alasan kegagalan ekonomi.

Sebenarnya kita mesti berani berubah. Berani berubah cara kerja dan mengubah sikap kita ke arah mentadbir ekonomi secara betul.

Masih ingat kahak hijau wak mat ketika meludah saya bila saya katakan negara kita muflis sebab subsidi. Sebab beri subsidi kepada gula dan minyak masak akhirnya negara menanggung hutang. Macam torpedo kahak hijau dan sesekali bercampur kuning menerjah sisi kiri dan kanan tubuh saya. Marah benar wak mat.

"Engkau ni bodoh ke bangang?" dia bertempik. "Mana nak masuk akal, gula mahal, minyak mahal lepas tu kerajaan kena bagi subsidi pula? Bodoh ke bingai engkau ni?" soalnya sambil biji matanya membola merah.

Wak mat hanya sekolah tahap darjah tiga. Dia tak akan percaya, sebab tebu boleh campak seminggu belakang rumah tumbuh tunasnya. Kelapa sawit buat minyak masak itu pun katanya macam hutan simpan ditanam di negara ini.

"Sepatutnya, gula paling tinggi pun 50 sen sekilo. Minyak masak pun sama. Sebab kita boleh hasilkan gula dan minyak masak. Kenapa kita nak beli dari luar? Yang aku geram dan geli hati sampai terkencing-kencing ialah kenapa pulak kerajaan kena keluar subsidi?" dia menyoal melepaskan geram.

"Ini mungkin ada kaitan sistem ekonomi, sistem AP gula misalnya wak?" saya menjawab secara bodoh dan secara bangang jugalah dijawab oleh wak mat.

"Orang gila pun kalau macam ini tak boleh rugi. Kita ada banyak duit misalnya. Kita bagi pada anak-anak kita. Lepas tu kita cakap orang kampung, kita dah nak bankrap berhutang sebab bagi duit pada anak-anak sedangkan duit itu bukan kita hutang dari bank. Duit itu kita kumpul bertahun-tahun.

"Aku malulah kalau kata bankrap sebab subsidi. Macam perumpamaan, tak ada beban, batu digalas. Tak masuk akal. Yang kaya orang macam Robert Kuok. Siap bagi gelaran raja gula lagi!" wak mat malas berbalah lagi dan mengatur langkahnya pergi. Tapi sebelum itu dia sempat berpaling.

"Kalau kau cakap lagi negara kita muflis pasal kena bagi subsidi gula dan minyak masak, aku cangkul kepala engkau!" dan serentak itu memancut lagi kahak hijau bercampur kuning. Kali ini kena tepat ke dahi saya.

Mahu saya apakan orang tua itu. Saya tanggalkan baju dan lapkan kahak masin wak mat. Sumpah saya tak mahu berbalah dengan wak mat sebab kahak dia laju bak torpedo. Tapi tak boleh saya salahkan dia, sebab wak mat tak habis sekolah. Sedangkan orang sekolah tinggi pun tak boleh uruskan ekonomi. opppss.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10