SATU insiden menakutkan wartawan TV3 di Mesir apabila dia dan rakannya termasuk jurugambar dan wartawan Berita Harian ditahan sebanyak 3 kali ketika menemuramah kumpulan pelajar Malaysia yang dalam proses dibawa pulang di Lapangan Terbang Kaherah hari ini.
Malah Razali Awang melaporkan beliau dan rakan-rakannya turut diacu pisau oleh kumpulan lelaki bersenjata termasuk pistol ketika menaiki teksi dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan. Kamera dan peralatan lain mereka turut nyaris dirampas.
Mereka terpaksa berpatah semula ke lapangan terbang dan dibawa ke satu kawasan menempatkan polis tentera dan disoal selama dua jam. Syukur, kebolehan Razali dan rakannya dari Berita Harian yang boleh bertutur bahasa Arab, membolehkan mereka dibebaskan.
Menurut laporan Razali dari Mesir, beberapa wartawan asing juga kelihatan sedang ditahan oleh pihak berkuasa termasuk wartawan dari Poland dan Britain.
Beliau dan rakan-rakan setugas dari Media Prima kini sedang berusaha untuk sampai ke hotel penginapan berikutan bimbang masa tidak mencukupi bagi mengelak terperangkap dalam perintah berkurung yang diumumkan kerajaan Mesir.
Sementara itu, hari ini enam rakyat Mesir ditembak mati dipercayai oleh penyokong Hosni Mubarak di Dataran Tahrir, menjadikan angka kematian kepada 9 orang sejak semalam. Ratusan yang lain cedera.