ROS memang nakal. Dia berani dalam segala hal. Kalau tidak nakal dan tidak berani mana boleh dia selalu mengangkat keningnya setiap kali berselisih dengan mejar Johari. Bukannya Fadilah tidak nampak. Bukannya Fadilah tidak perasan. Ada sekali itu, bukan setakat mengangkat kening, tapi mata kirinya dikenyit penuh merenyam! Itu pun bukan Fadilah tidak nampak.
Kenakalan dan keberanian budak itu kalau diukur dan ditimbang memang tidak setanding dengan umurnya yang baru mencecah 19 tahun! Hatinya bagaikan hati seorang askar Jepung zaman Perang Dunia Kedua dulu. Dalam hati itu mengalir sungai yang berarus kuat penuh dengan ombak yang mengandungi semangat kamikaze. Semangat berani mati! Fadilah dapat merasakannya.
Mejar Johari pula dilihatnya menganggap semua itu sebagai biasa. Malah ada kalanya mejar Johari sendiri membalas anggukan kening Ros. Itu yang Fadilah nampak. Yang Fadilah tidak nampak, entah macam mana pula!
Sejak hari pertama datang dulu, Fadilah mengesan semangat dan keberanian pada skala yang luar biasa ada dalam diri budak itu. Mahu juga dia berterus terang soal itu kepada mejar Johari, tetapi dia bimbang air di hulu tak sampai ke hilir! Sudahnya jadilah begini. Dia terpaksa berperang dalam perasaan sendiri. Kenapalah mejar Johari tidak mahu memahaminya? Sesekali hatinya memberontak juga.
Mejar Johari tidak boleh memandang ringan semua ini. Bukan niat Fadilah untuk mengajar bosnya itu. Tidak! Cuma Fadilah dapat rasakan ada sesuatu di sebalik hati Ros yang mejar Johari kurang tahu. Dia pun perempuan. Jadi mejar Johari kenalah berawas sikit. Soal hati dan perasaan bukan sesuatu yang luar biasa. Anak komunis di Rusia pun boleh bercinta dengan bapa budak di Amerika. Maknanya, soal hati dan perasaan boleh melangkau sempadan. Budak yang kalau dipandang ringan, dipandang enteng ini satu hari nanti boleh menjebak mejar Johari! Sampai ke situ jauh risaunya Fadilah.
Fadilah memikirkan soal itu atas alasan yang amat kuat dan kukuh. Bukti telah ditemuinya. Bukti itu ada dalam esei yang sedang Fadilah baca. Nampak sangat Ros seperti sengaja menebar jala untuk menangkap cinta! Berani benar Ros menjala ikan di laut dalam! Dulu, bila dia sendiri mengaku akan menulis tentang mejar Johari sebagai subjek dalam eseinya, Fadilah anggap budak itu hanya bergurau. Tapi tidak rupanya. Fadilah silap. Ros sebenarnya bukan budak. Dia gadis sunti, bak bunga yang sedang harum dan mengembang mekar. Yang sering menggoda kumbang liar singgah ke kuntumnya. Fadilah amat bimbang.
Nampak sangat Ros jenis perempuan yang akan buat apa yang dia cakap. Contohnya apa yang dia tulis dalam eseinya. Dia kata dia akan tulis tentang mejar Johari, dan dia buktikan apa yang dia cakap. Jenis perempuan macam ini amat berbahaya bisik hati Fadilah. Apatah lagi kalau sudah berani menjebak hal-hal berkaitan kasih sayang. Lagi pun Ros memang budak yang kegersangan kasih sayang. Dia anak yatim piatu. Mustahil mejar Johari tidak tahu jerat dan umpan kasih sayang yang terhidang di depan matanya itu? Setitis kasih mejar Johari kalaulah tumpah dari bibirnya nanti akan tentu menjadi segunung salju di hati Ros. Jangan main-main! Pokok resahnya semakin tinggi menjolok langit bimbang yang tiada sempadan.
Inilah bukti antara apa yang Ros tuliskan dalam eseinya. Yang telah mengganggu sangat-sangat perasaan Fadilah.
"TIDAK ada orang lain dalam hidup saya yang saya suka dan saya sayang. Tidak pernah dalam hidup saya, saya berjumpa seseorang yang amat menyentuh hati saya. Yang sangat menyebabkan hati saya boleh cair dan lentuk.
Insan yang saya maksudkan itu adalah mejar Johari. Saya amat tertarik dengan perwatakan dan keperibadiannya. Dia seorang yang amat memahami perasaan saya. Dia tidak pernah meninggikan suara walaupun saya dan kawan-kawan telah menunjukkan perbuatan biadap ke atasnya sebaik sahaja tiba di kem ini.
Sebagai anak yatim piatu yang tidak pernah kenal siapa ayah dan ibu, saya rasa mejar Johari adalah pengganti kepada kedua-dua ayah dan ibu saya.
Wajahnya tenang, terpancar dirinya bak seorang lelaki yang amat penyayang. Saya rasa bertuah bertemu lelaki seperti mejar Johari walaupun hanya baru seminggu mengenalinya. Terasa seperti mahu hidup bersamanya. Terasa mahu sentiasa bersamanya. Dia baik dan kacak!
Saya kagum. Pada nenek yang menjaga saya sejak kecil pun saya tidak pernah berasa seperti ini. Saya amat menyanjunginya. Kerana apakah perasaan saya sentiasa gementar dan berdebar apabila bertentang mata dengan mejar Johari?
Kalaulah dia ayah saya, tentu dia ayah yang baik. Kalau dia abang saya, tentu dia abang yang baik. Kalau dia kekasih saya, tentu dia kekasih yang amat saya sayangi. Kalau dia suami saya...Oh..Tuhan! Kau makbulkanlah permintaanku ini!..........."
Halilintar dan petir saling berbalas bedilan dalam segenap ruang dada Fadilah. Perenggan akhir esei yang ditulis Ros itu dibacanya lama-lama. Itu bukan main-main. Itu esei yang ditulis dari jelmaan perasaan dan emosi yang tentunya jujur dan ikhlas dari kantung seorang perempuan. Ini bukan esei ilmiah atau karangan untuk lulus peperiksaan. Ini esei yang telah merumitkan keadaan. Emosi telah dilukiskan dalam bentuk yang amat jelas. Fikiran Fadilah semakin kacau.
Cemburu? Ya...Fadilah tidak mahu lagi berbohong. Dia tidak mahu membohongi dirinya dan akhirnya nanti dia sendiri yang kerugian. Kalau dibiarkan sahaja, takung harapannya boleh menjadi kering kontang, sebaliknya hujan kasih masuk pula ke kolam lain. Yang penting dia tidak mahu itu berlaku. Paling penting dia tidak akan lagi membohongi keadaan. Soalnya bagaimana? Mestikah ditunjuk-tunjukkan sehingga dirinya nanti ditertawakan pula?
Ya, makin lama difikirkannya, semakin tinggi bukit cemburu membanjar dalam perasaannya. Perlukah dia berterus terang. Perlukah dia berterus terang dengan kedua-duanya - mejar Johari dan Ros? Soalnya tidakkah nanti berterus-terang itu akan menelanjangkan segala perasaanya di khalayak orang lain. Itu kalau semuanya bersahut. Kalau mejar Johari buat tidak peduli, bagaimana? Aduh..Fadilah pening memikirkannya. Kalau dia berterus-terang dengan Ros sekalipun, adakah jaminan untuk dia menjadi orang yang lebih berhak dalam perebutan cinta ini? Kalaulah Ros buat degil dan tidak mahu peduli, susah juga dia nanti!
Entahlah, dalam keadaan sekarang dia tiba-tiba sahaja berasa amat cemburu. Amat-amat cemburu. Entah kenapa, perasaan itu menjadi semakin kuat. Semakin kuat cemburunya sejak budak bernama Ros itu datang ke kem ini.
Telah dua tahun dia mengenali mejar Johari. Lama juga masa itu untuk dia mengenali mejar Johari. Memang. Memang dia tak pernah mengucapkan perasaan cintanya secara terus-terang. Begitu juga mejar Johari. Tapi butakah mejar Johari kalau tidak dapat melihat benang harapan yang dijahit di sebalik bahasa badan dan bahasa mulutnya selama ini?
Biar betul budak ni! Fadilah berperang lagi dengan perasaannya apabila bayang Ros asyik sahaja mengganggu kotak fikirnya. Apakah akan ada pertandingan nanti untuk merebut hati seorang lelaki? Ketakutan dan kebimbangan bertali arus. Hati kecilnya sentiasa bersoal dalam sebal dan resah yang mendesah. Hatinya asyik digugat dengan seribu satu perasaan yang berbalut bimbang. Dia tiba-tiba takut dan bimbang pada kehilangan!
Mahu sahaja dibuangnya esei ditulis Ros itu. Hakikatnya dia tidak boleh buat begitu. Dia telah diberi amanah yang amat besar untuk melaksanakan tugas ini. Kalau dibuang nanti, apa pula kata mejar Johari, sebab lambat laun akan ketahuan juga. Ahh..hatinya berperang lagi. Tak pernah macam ini peperangan terjadi dalam hatinya.
Dibacanya lagi. Kalau dia suami saya!...Oh Tuhan..Kau makbulkanlah permintaanku ini! Permintaan yang mana? Biar betul budak ni! Biar betul! dengus hatinya. Dah gila nak berlaki pulak! Timbul cuak juga dalam hati Fadilah. Kalau ini benar, mejar Johari tidak boleh berdiam diri. Dia mesti mendindingkan dirinya dengan tembok yang amat tebal. Maklumlah. Mejar Johari lelaki. Ros pula muda. Beza umur antara dia dan Ros hanya enam tahun. Fadilah 25 tahun, sedang Ros 19 tahun. Cantik pula! Ah...gila Fadilah memikirkan. Apa sudah gilakah mejar Johari mahu bercinta dengan pelatihnya sendiri? Pelatih yang bermasalah? Kemudian berkahwin pula? Hissshhh segala akar resah yang amat menyerabutkan sedang menjalar dalam benaknya ketika itu. Benar-benar kalut dan serabut jadinya.
Dia terkenang pula kata-kata mejar Johari semalam. "Fad...Fad..marah saya ke?" Sayangnya dia tidak mahu pula berterus-terang. Dia hanya menjawap tidak, tidak dan tidak. Sedangkan ketika itu dia dapat merasakan, ada sesuatu di sebalik pertanyaan mejar Johari itu. Dia memarahi dirinya kerana terlalu malu!
Fadilah terkenang pula cerita lampau. Ketika dia dan mejar Johari menghabiskan masa melawat kampungnya di Terachi, Kuala Pilah dulu. Seminggu bercuti di kampungnya, mejar Johari menumpang tidur di rumah bapa saudaranya hanya 30 meter dari rumah keluarganya. Ibunya juga telah mengenali mejar Johari. Pernah kata ibunya, mejar Johari memang lelaki yang baik! Fadilah tidak mengulas apa-apa apabila ibunya berkata begitu, kecuali tertunduk. Malu. Malu tapi mahu sebenarnya!
Seronok sangat ketika itu. Dibawanya mejar Johari berlari di tengah batas sawah yang baru siap ditanam padi menghijau. Seronok, bersama mejar Johari memancing ikan betuk. Setengah-setengah tempat memanggilnya ikan puyu. Dia duduk berlaga paha di tepi parit. Sesekali terasa hangat alir darah pada kulit paha mejar Johari, walaupun dua paha berbeza jantina itu berbalut kain dan seluar!
Sekali itu tersembat mata kail mejar Johari tersangkut ke jantung pisang Awak di tepi pondok sawah. Masih segar kenangan itu. Tangannya dan tangan mejar Johari saling bersilang mahu menanggalkan mata kail itu. Masih dirasakannya lagi kehangatan tangan mejar Johari sewaktu menolak perlahan-lahan tangannya.
"Dah sangkut kat pisang awak! Biar saya yang tanggalkan!" gurau mejar Johari.
"Yalah...kedekut..Pisang awak...bukan pisang saya! Tanggalkanlah sendiri!" Fadilah tergelak sebelum hidungnya ditarik oleh mejar Johari.
Kenangan itu menyeronokkan. Mana mungkin dilupakan saat-saat mejar Johari bergaya dan bergambar di sebelah Orang-Orang yang memakai baju bertopi mengkuang. Lebih seronok bila melihat dua ekor lintah telah kenyang di kaki mejar Johari. Seronoknya lagi, mejar Johari tanggalkan sendiri lintah itu dan diacahnya ke muka Fadilah. Macamlah Fadilah itu penggeli orangnya. Ahhh...seronok kenangan itu.
Itu baru kenangan di sawah Kampung Terachi. Belum dicampurkan dua malam berkhemah bersama tujuh kawan lain di tepi laut Tanjung Selamat, menjaring ikan belanak. Malamnya disergah ular tedung. Kenangan itu menakutkan tapi indah buat Fadilah sebab mejar Johari ada bersamanya menjadi penyelamat membunuh ular paling berbisa itu.
Kini nampak pula ada orang lain tiba-tiba tanpa salam mahu masuk ke dalam zon kebahagiaan yang sedang ditempahnya. Tanpa malu pula cuba menumpang mesra di bawah hujan kasih seorang lelaki bernama mejar Johari! Tentulah hatinya terusik juga. Tentulah marah. Tentulah cemburu. Selama ini dia seronok bermain air di bawah hujan kasih duda itu. Kini ada pula orang mahu menumpang bersama bermain di situ!