KEBANGKITAN rakyat di jalan raya di beberapa bandar utama Mesir membangkitkan semangat banduan di penjara Wadi Natrun, di utara Kaherah untuk turut memberontak, membelasah pengawal penjara dan meloloskan diri beramai-ramai semalam.
Setakat ini dianggarkan lebih 2,500 banduan berjaya melarikan diri. Kebanyakan mereka adalah tahanan kesalahan politik yang disumbat oleh rejim Hosni Mubarak. Mereka dipercayai berpecah melarikan diri ke beberapa arah memasuki bandar dan kampung.
Ribuan banduan terbabit dikatakan membelasah pengawal penjara dan melarikan senjata mereka, selain meraikan kejayaan melarikan diri itu secara beramai-ramai kerana menyedari hampir kesemua tentera dan polis terpaksa menangani penunjuk perasaan yang jumlah puluhan ribu menentang presiden Hosni Mubarak.